Kuala Lumpur – Walaupun siri konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ sudah berakhir, ratu rock negara, Ella bakal mengadakan sebuah konsert yang lebih istimewa. ‘JILID ROCKESTRA ELLA: ROCKERS JUGA MANUSIA’ pada 9 Ogos yang akan datang bertempat di Plenary Hall, KLCC.
Hitman Solutions dan RockQueen, kembali bekerjasama sekali lagi bersedia untuk berkongsi segalanya dalam satu sidang media eksklusif bersama rakan media di Restoran Rumah Nusantara, Sunway Putra Hotel.
Beliau juga menyatakan akan ada banyak kejutan di konsert akan datang ini dan juga akan membawakan lagu asli dan idolanya untuk beraksi di pentas itu nanti. Ketika ditanya siapakah idola jemputan khasnya itu, beliau sekali lagi mengatakan ianya akan jadi salah satu kejutan untuk para peminatnya.
Sebagai anak seni yang prihatin, Ella masih mengekalkan solidaritinya terhadap Palestin dan akan terus bersuara demi manusiawi sepanjang berlangsungnya konsert nanti.

Konsert lebih istimewa buat peminat setia Ella itu dijadual berlangsung di Plenary Hall, KLCC pada pada 9 Ogos depan.
Ia dijangka berlangsung satu malam saja dan akan menampilkan persembahan gabungan unik muzik rock Ella dengan elemen band dan orkestra.
Untuk rekod, kali terakhir Ella beraksi dengan iringan orkestra adalah pada 2017.
Mengulas mengenai konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia, Ella berkata acara itu bakal diisi dengan lagu-lagu yang tidak pernah dimainkan di mana-mana konsert sebelum ini.
Katanya, persembahan dijangka berlangsung kira-kira 2 jam 30 minit dan bakal menampilkan artis jemputan yang belum boleh didedahkan namanya.

“Kelainannya apabila konsert orkestra tapi ada unsur rock and roll, tapi macam mana susunannya, anda kena bayangkan.
“Anda juga akan terperanjat kerana saya akan bawa lagu yang anda sendiri tidak pernah dengar.
“Untuk jelaskan lebih terperinci belum lagi kerana kami masih dalam fasa merancang.
“Selain itu, akan ada kejutan artis jemputan. Ini adalah artis yang saya pilih sendiri malah dia adalah idola saya,” katanya lagi.
