KUALA LUMPUR – Seorang pelabur British yang ditipu melebihi RM60 juta oleh seorang ahli perniagaan Malaysia bergelar “Datuk Wira”, terus membantu polis dalam siasatan berterusan kes penipuan tersebut.
Imbas kembali pada 6 November 2023, satu laporan jenayah komersil telah dibuat terhadap suspek seorang individu bergelar ‘Datuk Wira’ oleh pelabur British, Lee Meiklejohn, yang mendakwa dirinya jelas ditipu sebanyak GBP 10 juta (melebihi RM60 juta mengikut kadar tukaran semasa) wang pelaburannya untuk pembelian saham dalam sebuah syarikat, yang ketika itu dikawal oleh suspek.
Pihak polis telah memulakan siasatan namun sehingga kini tiada tangkapan dibuat. Sementara itu, suspek terus “menjalankan” operasi perniagaannya seperti biasa melalui wakil perniagaan (nominee) dan para pekerjanya.
Namun, sebulan selepas laporan difailkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) ada mengeluarkan kenyataan media yang disiarkan oleh Harian Metro bertarikh 9/12/2023 yang menyatakan bahawa JSJK telah “dimaklumkan” oleh suspek bahawa beliau telah membayar balik sekitar RM 10 juta kepada pelabur tersebut serta telah memberi saham-saham syarikat kepada pelabur berkenaan sebagai balasan pelaburannya.
“Ini sama sekali tidak masuk akal dan semata-mata pembohongan kepada pihak polis.
“Saya tidak menerima walau sesen pun wang pelaburan saya yang sepatutnya dilaburkan dalam pembelian Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Shares ataupun RPS) dari Vasseti Berhad” kata Meiklejohn.
Jelas Meiklejohn lagi, beliau kini telah memperoleh pengesahan bertulis daripada syarikat tersebut yang menyatakan mereka tidak pernah menerima sebarang wang daripada untuk pelaburan yang sepatutnya dibuat.
“Syarikat tersebut mengesahkan bahawa saya tidak pernah memegang sebarang saham berbayar syarikat itu dan syarikat tersebut telah memperoleh keputusan mahkamah terhadap suspek kerana mengeluarkan dan mengedarkan saham syarikat yang tidak bernilai dan tidak berbayar di pasaran terbuka kepada ramai pelabur yang tidak sedar ditipu” ujarnya lagi.
Perlu ditekankan bahawa, walaupun siasatan sedang dijalankan, suspek terus menjalankan aktiviti perniagaannya dengan sewenang-wenangnya. Sebagai respon kepada kenyataan media tersebut, Meiklejohn, melalui peguamnya Tetuan Salehuddin Saidin & Associates, telah menulis surat memohon penjelasan dari pejabat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin bin Husain untuk mendapatkan kesahihan kenyataan yang dibuat oleh Pengarah JSJK kepada media sebelum ini.
Untuk meletakkan fakta benar dalam perspektif yang betul, pelabur tersebut kini telah menyediakan suatu Akuan Berkanun (Statutory Declaration), yang juga telah diedarkan kepada pihak media dengan harapan penerbitan kandungannya yang berkaitan dengan kes penipuan tersebut akan menghalang suspek daripada menggunakan pengaruhnya menghalang atau memesongkan siasatan yang sedang dijalankan.
“Saya telah menyerahkan semua bukti yang saya kumpul kepada ketua pegawai penyiasat kes. Jujurnya saya berasa bimbang dengan cara kes ini dikendalikan, kerana saya rasa seperti berulang kali diminta untuk membuktikan dakwaan saya, sementara kenyataan suspek pula seolah-olah diterima tanpa siasatan menyeluruh dan tanpa sebarang pengesahan dengan saya.
“Walaupun saya bimbang tentang masa panjang diambil untuk siasatan, saya yakin semua bukti akan dipertimbangkan oleh pihak JSJK dengan teliti. Bagi saya, adalah sangat penting untuk memastikan siasatan menyeluruh dijalankan oleh semua pihak yang terlibat” tambahnya.
Dalam masa sama, Pengerusi Kumpulan Tindakan Mangsa-mangsa Penipuan Ranjeet ataupun secara ringkas “MaPeR”, Shah Abdul Malek yang telah lama memperjuangkan tindakan terhadap suspek kerana menipu ramai pelabur menambah, pihaknya tidak tahu bagaimana lagi untuk membantu pelabur-pelabur yang menjadi mangsa.
“Saya mempunyai senarai lebih 300 orang pelabur yang besar kemungkinan telahpun kehilangan wang pelaburan mereka, termasuk wang daripada beberapa isntituisi/syarikat berkaitan kerajaan.
“Perkara yang tidak disedari oleh pelabur-pelabur ini ialah syarikat-syarikat yang berkaitkan dengan suspek tidak mempunyai sebarang perniagaan yang bermakna dan saya percaya semua wang itu hanya disalurkan ke dalam poket suspek sendiri. Suspek bukannya seorang ahli perniagaan yang jujur dan sememangnya tidak tahu bagaimana untuk menjalankan sebarang perniagaan lain selain dari menipu para pelabur” tegasnya.
