AX8U8597 - Copy.JPG

Kuala Lumpur – TV AlHijrah hari ini melakar satu lagi sejarah penting dalam perjalanan penyiaran Islam negara apabila meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-16 menerusi pelancaran AlHijrah Media Nexus (AMN), sebuah pusat sokongan operasi baharu di Cyberjaya.

Pelancaran AlHijrah Media Nexus (AMN) telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Zulkifli Bin Hassan dan disaksikan oleh Pengerusi TV AlHijrah, barisan Ahli Lembaga Pengarah serta warga kerja organisasi.

AMN dibangunkan sebagai sebahagian daripada langkah strategik TV AlHijrah untuk memperkukuh kesinambungan operasi dan penyiaran organisasi melalui penyediaan infrastruktur sokongan yang lebih moden, selamat dan responsif.

Kemudahan tersebut turut dilengkapi dengan studio mini bagi menyokong keperluan penerbitan kandungan serta memastikan penyampaian siaran kepada penonton dapat diteruskan secara konsisten dan berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, ulang tahun ke-16 ini bukan sekadar meraikan pencapaian organisasi sepanjang lebih satu dekad lalu, malah menjadi titik permulaan kepada agenda transformasi yang lebih menyeluruh bagi memastikan TV AlHijrah terus kekal relevan dan diyakini masyarakat.

“Selama 16 tahun, TV AlHijrah telah berkembang sebagai sebuah platform penyiaran yang membawa mesej ilmu, dakwah dan inspirasi kepada rakyat Malaysia. Sambutan ulang tahun kali ini menjadi lebih bermakna dengan pelancaran AlHijrah Media Nexus yang akan memperkukuh kesinambungan operasi dan kesiapsiagaan penyiaran organisasi pada masa hadapan.

“Pelancaran ini bukan sekadar melibatkan pembangunan infrastruktur, tetapi turut mencerminkan kesediaan TV AlHijrah untuk terus berkembang seiring perubahan landskap media dan teknologi yang semakin pantas,” katanya.

Beliau berkata, dalam dunia penyiaran yang semakin bergantung kepada teknologi, kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya terletak pada kandungan yang disampaikan, tetapi juga pada keupayaan sistem dan infrastrukturnya untuk beroperasi secara stabil, selamat dan berkesan.

“AMN merupakan pelaburan strategik yang akan membantu TV AlHijrah memperkukuh kecekapan operasi serta memastikan perkhidmatan penyiaran yang disampaikan kepada penonton terus kekal diyakini. Sebagai sebuah media Islam yang membawa amanah dakwah dan pembangunan masyarakat, kami perlu sentiasa bersedia untuk memenuhi keperluan industri serta jangkaan penonton yang sentiasa berkembang,” tambah beliau.

Penubuhan AMN turut selaras dengan aspirasi TV AlHijrah untuk memperkukuh agenda transformasi digital organisasi serta meningkatkan mutu pengurusan operasi dan infrastruktur penyiaran ke tahap yang lebih mampan, moden dan berdaya tahan.

Selain pelancaran AMN, TV AlHijrah turut memperkenalkan Bincang Niaga 2026, hadiah istimewa yang dirangka bagi membantu usahawan, syarikat dan organisasi memanfaatkan kekuatan ekosistem media TV AlHijrah dalam memperkukuh jenama, meningkatkan keterlihatan produk dan perkhidmatan serta memperluaskan capaian pasaran bermula 22 Jun 2026 hingga 31 Julai 2026.

Program berkenaan menawarkan peluang kepada peserta untuk meneroka pelbagai platform promosi yang disediakan oleh TV AlHijrah merangkumi televisyen, digital, media sosial dan platform penyiaran lain yang berada dalam ekosistem organisasi.

Melalui Bincang Niaga 2026, para peserta bukan sahaja berpeluang memanfaatkan kekuatan platform media TV AlHijrah untuk meningkatkan keterlihatan jenama dan memperluaskan capaian pasaran, malah turut menerima sokongan strategik daripada pasukan profesional TV AlHijrah dalam merancang kempen promosi yang lebih berkesan dan bersesuaian dengan keperluan perniagaan masing-masing.

Sebagai galakan kepada penyertaan, TV AlHijrah turut menawarkan diskaun istimewa sehingga 40 peratus kepada peserta yang mendaftar dalam tempoh promosi yang ditetapkan, tertakluk kepada terma dan syarat.

Selain itu, TV AlHijrah turut membawakan pelbagai program terbaik bagi mengajak masyarakat menghayati makna hijrah yang sebenar, di samping memperkukuhkan nilai ilmu, perpaduan, kasih sayang dan pembangunan ummah yang menjadi teras perjuangan TV AlHijrah sejak penubuhannya.

Antara program istimewa yang disediakan termasuk siaran khas Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun pada 16 Jun, program Dakwah Live: Hijrah Ummah (16 Jun, 9.00 malam), Assalamualaikum Khas Awal Muharam (17 Jun, 7.00 pagi), Dari Hati: Wanita (18 Jun, 9.00 malam), tayangan telemovie Sujudku ( 20 Jun 2026, jam 9.00 malam) serta drama pendek Bukan Kerana Itu (1 Julai setiap hari, jam 10:00 pagi dan 4:00 petang)

Seiring usia 16 tahun, TV AlHijrah akan terus komited memperkukuh peranannya sebagai penyiar Islam negara yang bukan sahaja menyampaikan kandungan berkualiti dan berimpak, malah didukung oleh sistem operasi yang moden, stabil dan berdaya tahan demi memenuhi keperluan penonton serta industri penyiaran yang sentiasa berkembang.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading