Presentation-of-Token-Appreciation-to-Partners-696x464

KUALA LUMPUR – Industri kesihatan di Asia sedang melalui transformasi besar apabila kemajuan teknologi, inovasi produk dan perubahan corak pengguna menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor tersebut. Perkembangan ini menjadi fokus utama dalam Forum Trend Pengguna dan Produk Kesihatan Global 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Forum yang menghimpunkan pemain industri dari Malaysia dan Taiwan itu menjadi platform bagi pemimpin perniagaan, pakar bioteknologi, penggubal dasar serta rangkaian farmasi untuk bertukar pandangan mengenai hala tuju industri kesihatan yang semakin berkembang. Acara tersebut dianjurkan oleh THE PAGE dengan kerjasama Welbloom Biotechnology dan SEAbizs, serta mendapat sokongan beberapa organisasi industri termasuk MATRADE dan MADSA.

Peningkatan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit telah mengubah cara pengguna membuat pilihan. Dalam era pasca pandemik, pengguna kini lebih cenderung mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap produk serta perkhidmatan yang menyokong gaya hidup sihat.

Perubahan ini turut membuka peluang kepada pelbagai segmen baharu seperti makanan berfungsi, nutrisi diperibadikan, kesihatan digital, penjagaan kesihatan usus, pengurusan tekanan serta penyelesaian kesejahteraan menyeluruh. Tema forum, “Defining the Next Generation of Health Industry”, menekankan bagaimana evolusi keperluan pengguna membentuk generasi baharu industri yang lebih berteraskan teknologi dan pengalaman pengguna.

Menurut pengasas dan penerbit THE PAGE, Darren Teoh, kejayaan syarikat pada masa depan bergantung kepada kemampuan mereka memahami kehendak pengguna yang sentiasa berubah serta menyesuaikan strategi dengan pantas. Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama rentas negara, perkongsian teknologi dan pembangunan inovasi akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan industri kesihatan serantau.

Sepanjang forum berlangsung, pelbagai topik dibincangkan termasuk perubahan corak pembelian pengguna, peningkatan minat terhadap produk berasaskan bahan semula jadi dan strategi pembangunan produk yang memenuhi keperluan generasi baharu. Peserta juga meneliti bagaimana inovasi mampu menjadi faktor utama dalam meningkatkan daya saing syarikat.

Trend semasa menunjukkan pengguna semakin mengutamakan kemudahan dan pengalaman penggunaan. Justeru, pengeluar kini memperkenalkan pelbagai format produk yang lebih praktikal seperti minuman kesihatan, jeli nutrisi, gula-gula kenyal dan makanan harian yang menawarkan manfaat tambahan kepada kesihatan.

Sementara itu, para panelis yang dibarisi; Pengurus Besar MADSA, James Pereira, Adrian Toh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif R Pharmacy serta Alex Liao, Ketua Pegawai Eksekutif Welbloom turut menekankan kepentingan pengesahan halal JAKIM bagi kesemua produk suplemen yang dipasarkan.

“Kita mengikuti kesemua garis panduan dan syarat bagi produk suplemen terutama dari Taiwan yang masuk ke Malaysia, setiap negara mempunyai aspek-aspek keselamatan yang perlu dipatuhi terutama sekali melibatkan produk suplemen” kata Alex Liao, Ketua Pegawai Eksekutif Welbloom.

Sementara itu, Adrian Toh menegaskan bagi memasarkan produk berasaskan makanan tambahan dan kesihatan, setiap garis panduan yang digariskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) perlu dipatuhi bagi memastikan kualiti, keselamatan, dan keberkesanan ubat-ubatan serta kosmetik yang dipasarkan di Malaysia melalui penilaian saintifik dan ujian makmal sebelum diluluskan.

“Sebagai pemain dalam industri farmasi, kita tertakluk dibawah NPRA sebagai badan utama yang bertanggungjawab memastikan kualiti, keselamatan, dan keberkesanan produk farmaseutikal, kosmetik, serta produk kesihatan di Malaysia.

“Ini dilaksanakan melalui proses penilaian data saintifik, pendaftaran produk, pelesenan premis, dan pemantauan berterusan di pasaran, begitu juga dengan negara-negara lain yang mempunyai satu badan khas yang bertanggung jawab untuk perkara ini” jelasnya.

Forum itu turut menyorot kepentingan transformasi digital dalam industri, termasuk penggunaan platform e-dagang, pemasaran digital dan penjenamaan berasaskan gaya hidup. Langkah ini dilihat penting bagi memastikan syarikat kekal relevan dalam persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif.

Antara sorotan utama acara ialah pengenalan teknologi FRESH-Jelly oleh Welbloom Biotechnology dari Taiwan. Teknologi tersebut menawarkan pendekatan baharu dalam pengambilan produk kesihatan dengan menggabungkan nilai nutrisi, rasa yang lebih menarik dan pengalaman penggunaan yang lebih mesra pengguna, khususnya golongan muda.

Lebih 50 organisasi dan syarikat dari Malaysia serta Taiwan mengambil bahagian dalam forum berkenaan. Penganjuran program ini dijangka memperkukuhkan hubungan perdagangan, pelaburan, pemindahan teknologi dan kerjasama industri antara kedua-dua negara, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor kesihatan Asia pada masa hadapan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading