Kuala Lumpur – Konsert Cipta Datuk M Nasir yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil berjaya memukau seramai 8,000 penonton, malam tadi.
Konsert durasi lebih dua jam itu juga disemarakkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Lebih bermakna, M Nasir, 66, juga mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-77 buat Anwar dengan menghadiahkan pulut kuning pada konsertnya itu.
Ternyata, pengalaman sepanjang 45 tahun mencipta karya hebat, luar biasa dan malar segar meletakkan figura ini ke satu tahap yang berbeza.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu menyaksikan M Nasir mempersembahkan karya-karya hebat seperti Mentera Semerah Padi, Hati Emas, Seroja, Bercanda Di Pasiran Pantai, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Srikandi Cintaku, Ada, Phoenix Bangkit, Senja Nan Merah, Tujuh Nafas Lagi dan banyak lagi.
Bukan sahaja membawakan lagu daripada album solo miliknya, suami kepada Datin Marlia Musa itu juga menghiburkan penonton dengan sentuhan magis yang pernah diberikan kepada kumpulan rock Search, Alleycats, Awie, Seha, Bumiputera Rockers (BPR), Kristal, Def Gab-C dan Rahim Maarof.
Lebih menghangatkan suasana apabila beliau berkesempatan menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir dan menyambut ulang tahun kelahiran ke-77 serta memberikan pulut kuning sebagai tanda kenangan.
Persembahan kemudian diteruskan lagi dengan nyanyian khas yang didendangkan buat mengenang pemergian Pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh yang terbunuh dalam serangan Zionis di kediamannya, baru-baru ini.
Selain itu, beliau juga mendedikasikan lagu Phoenix Bangkit buat seluruh rakyat Palestin yang diuji dengan peperangan. Dalam masa yang sama, layar besar di pentas turut mempamerkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti.

Pemuzik terkenal Datuk Ramli MS turut hadir sebagai penampilan khas di konsert tersebut dengan bermain alat muzik akordion mengiringi persembahan bergenre tradisional menerusi lagu yang berjudul Hijab Kekasih.
Konsert yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment tersebut turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran rakan-rakan artis antaranya Fauziah Nawi, Ella, Lan Solo, Musa Exists, Eddie Wings, Neves Pretty Ugly, Bunkface, Marsha, Ziana Zain, Misha Omar dan Melly Goeslow.
Dalam pada itu, stamina M. Nasir juga tidak tergugat meskipun mempersembahkan lebih 30 buah lagu.
