Shah Alam – Gula Cakery Petite merupakan sebuah kafe yang menjual pelbagai jenis kek dan pastri seterusnya mengembangkan menu mengetengahkan makanan melayu bersama Arieni’s Roti Jala.
Bermula sebagai sebuah impian, perniagaan yang diasaskan bersama ahli keluarga ini membuktikan kerjasama yang baik di kalangan ahli keluarga mampu merealisasikan sebuah jenama yang menjadi lambang kejayaan bersama.
Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Gula Cakery Petite, Arieni Ritzal, kafe di Elmina Lakeside Mall ini merupakan cawangan ke-11 dan lokasi ini dipilih bagi memenuhi selera masyarakat selain usaha untuk mengembangkan lagi jenama yang dibina.

“Istimewa cawangan di Elmina ini, kami membawakan menu istimewa seperti roti jala, makanan melayu seperti kicap ayam, masak lemak udang, daging dendeng, nasi ayam, cucur bawang, cekodok pisang dan pelbagai lagi.
“Kafe kami di cawangan lain mengetengahkan makanan barat dan disini kita bawa makanan melayu agar pengunjung ada pilihan lain memandangkan sudah banyak restoran makanan segera yang lain disini” katanya.
Jelasnya, barisan menu kek dan pastri yang ada disini juga ditambah dengan pelbagai pilihan terbaru seperti biskut lembut (soft cookies) dan variasi kek yang dipilih sendiri olehnya dan chef.
Kafe Dengan Sentuhan Elemen Warna-Warni dan Bunga
Walaupun kafe di sini agak comel, namun ia menawarkan lebih daripada 60 jenis kek. Lebih penting, kek disini juga mendapat pengiktirafan sijil Halal.
Ketika ditanya mengenai keistimewaan yang terdapat di cawangan terbaharu itu, menurut Arieni selain menu yang menjadi pilihan para pelanggan dan bersesuaian untuk seisi keluarga, dekorasi bertemakan warna kuning lembut pada dindingnya dan hiasan dinding rona merah bermotifkan bunga menaikkan seri dan aura yang lebih segar.

“Sebagai wanita, semestinya saya sukakan sesuatu yang cantik.
“Jadi saya memilih warna-warna yang mampu membangkitkan keserian pada bahagian dalaman kafe dilengkapi susunan kerusi dan meja bersaiz lebar sesuai untuk pelanggan berkeluarga mahupun yang datang bersama rakan-rakan untuk duduk semeja menikmati makanan kami dengan lebih mesra.


“Bagi pelanggan yang memilih untuk duduk menikmati makanan diluar, kami hiasi dengan bunga-bunga pelbagai warna untuk suasana lebih ceria dan sesuai juga untuk bergambar dengan cantik disini” ujarnya lagi.
Permulaan Dari Dapur Keluarga
Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal sewaktu kecil sering membantu nenek memasak dan membakar kek di dapur. Setiap kali menjelang Aidilfitri, Ariena menjadi pembantu dan teman rapat nenek di dapur sehingga dia mahir menyediakan kek dan biskut tanpa bantuan orang lain.
Oleh kerana minat mendalami pelbagai ilmu masakan sama ada secara formal atau praktikal dengan sokongan nenek, ayah dan ibu, Arieni memberanikan diri menjual kek kegemarannya menerusi dalam talian.
Tidak mudah meniti kejayaan yang diraih, namun jelas Arieni, dia jelas dengan misi dan matlamat. Malah ulasnya, selain menu yang lazat, mutu perkhidmatan harus dititikberatkan bagi memberikan pengalaman terbaik buat pelanggan.

“Tidak dinafikan cabaran untuk terus bertahan sangat sengit, namun selama 14 tahun beroperasi, kami sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggan. Walaupun menu yang dihidangkan sedap, namun servis dan suasana kafe juga memainkan peranan penting dalam menentukan naik turun bisnes. Sebab itu semua cawangan Gula Cakery dipersembahkan dalam rekabentuk dan ‘vibes’ berbeza dan kita mesti ikut trend semasa”,tambahnya lagi.
Kekal konsisten
Mengulas lanjut, ibu kepada dua cahaya mata Andra, 6, dan Malaiqa, 4, tidak menafikan cabaran untuk memastikan rasa setiap hidangan kekal sama di setiap cawangan.
“Mendapatkan konsistan dan mengekalkan rasa itu bukan mudah. Ini kerana setiap cawangan bertanggungjawab menguruskan penyediaan makanan.
“Untuk mendapatkan prosedur operasi standard (SOP) yang betul juga tidak mudah. Bukan sahaja bercakap dengan adunan menu, tetapi pengurusan dan komunikasi dengan pekerja juga penting” ualsnya.

Bagi masakan melayu di kafe baharunya itu, beliau menjelaskan kesegaran makanan menjadi kunci utamanya. Setiap makanan akan dimasak sejurus selepas pelanggan membuat tempahan.
“Hanya menu kek dan pastri sahaja kita sediakan di central kitchen, dan makanan melayu yang ada disini semuanya akan dimasak oleh chef selepas pelanggan membuat tempahan. Jadi pelanggan akan mendapat makanan yang panas dan berkualiti dari kami” katanya lagi.

Untuk info, premis Gula Cakery terdapat di Kota Kemuning, Selangor, KL East Mall (Kuala Lumpur), Tropicana Gardens Mall (Selangor), IOI City Mall (Selangor), Ardence Labs (Selangor), Eco Ardence (Selangor) dan Eco Grandeur, Puncak Alam (Selangor)
