1a245ed3-6c9d-4b73-9257-841e498bf25f

Cyberjaya – Kumpulan Leave a Nest melancarkan projek hutan LVNS dengan kerjasama syarikat pengeluar dron di Malaysia, Alphaswift, syarikat bio teknologi ACET innovate Sdn Bhd dan Pemaju Tech Hub Cyberjaya, Cyberview.

Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh usaha penghutanan semula Malaysia dan menegakkan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada jisim tanahnya di bawah litupan hutan dan pokok, seperti yang diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992.

Projek Hutan LVNS sejajar dengan matlamat Kerajaan Malaysia untuk memelihara kekayaan biodiversiti dan warisan semula jadi negara.

Pengarah Leave a Nest Malaysia, Dr.Yuko Ueno berkata, projek ini akan membawa kepada mencipta sistem sosial dan ekonomi baru dalam penghutanan semula menggunakan teknologi dan teknik baharu di hutan. Projek ini mempunyai enam tema pembangunan antaranya, pembangunan tanah, pembangunan teknologi benih, pembangunan teknologi pengurusan hutan, pembangunan barang berharga, pembangunan sistem penilaian dan pembangunan pendidikan dan kebudayaan.

“Ini adalah projek yang diketuai oleh Leave a Nest Co., Ltd. untuk mengintegrasikan teknologi dari semua bidang dan melaksanakan pembangunan dengan visi “Merealisasikan sistem sosial autonomi antara hutan dan manusia.

“Penyelidikan ini dijalankan dengan tujuan untuk menanam pokok di tapak bekas lombong dan pembalakan yang ditinggalkan dengan menggunakan dron yang membantu menjatuhkan bola benih (seed ball)” katanya.

Ujarnya, pihaknya akan berusaha bekerjasama dengan mana-mana agensi dan pihak kerajaan yang berminat untuk membantu dan memberi nilai tambah bagi projek hijau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ACET innovate Sdn Bhd, Ahmad Firdaus Ezani menambah, syarikatnya berfungsi menghasilkan bola benih dan diserahkan kepada syarikat dron, Alphaswift untuk ditabur di sekitar tanah yang telah dikenal pasti.

“Bola benih yang kami hasilkan adalah terdiri dari benih pokok-pokok hutan bertujuan penanaman semula dan memulihara hutan yang ditinggalkan kosong akibat aktiviti pembalakan mahupun perlombongan haram.

“Kebiasaanya, syarikat pembalakan yang tidak berdaftar meninggalkan kawasan hutan tanpa menanam kembali pokok-pokok disitu, jadi atas kesedaran dan inisiatif ini kami dengan kerjasama Leave a Nest dan Alphaswift bertindak untuk projek penanaman semula ini” jelasnya.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Alphaswift, Dr. Shian Lee berkata, pihaknya menggunakan dron hibrid A-22 Falco yang direka khusus untuk masa penerbangan yang panjang dan menjadikannya sesuai untuk misi ini. Dengan kapasiti muatan sehingga 500 biji benih dan kemudahan mengisi minyak petrol, dron ini boleh sampai ke kawasan yang paling terpencil dan tidak boleh diakses.

“Dron ini menjatuhkan satu bola benih pada satu masa dengan tepat. Penyemaian dengan dron adalah sehingga 50 kali lebih cepat daripada penanaman manual. Penggunaan pantas ini adalah penting untuk menangani keperluan penghutanan semula yang mendesak terutamanya di kawasan yang terjejas oleh kebakaran hutan atau pembalakan haram.

“Melalui pengaturcaraan perisian terbang sendiri termaju, dron kami secara autonomi mengikut laluan penerbangan yang telah ditetapkan untuk mengoptimumkan pengedaran benih. Penggunaan dron boleh mengurangkan kos penghutanan semula sehingga 80% berbanding kaedah tradisional” jelasnya.

Projek Hutan LVNS telah ditubuhkan oleh Kumpulan Leave a Nest pada 3 Mac 2023 dengan penyertaan 14 syarikat Jepun. Projek ini merupakan inisiatif demonstrasi yang tertumpu kepada pemulihan hutan dan penggunaan sumber yang berkesan. Sejak penubuhannya, Leave a Nest telah melancarkan Anugerah Sains Hutan Dana Penyelidikan Leave a Nest dan Projek Hutan LVNS.

Usaha ini bertujuan untuk memulihkan hutan yang musnah dan membangunkan penyelesaian inovatif untuk pengurusan hutan yang mampan. Membina kerjasama yang berjaya di Filipina, Leave a Nest teruja untuk melanjutkan perkongsiannya dengan Alphaswift dan ACET innovate di Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading