Kuala Lumpur – Selepas 20 tahun mendominasi layar perak dengan watak Maya Karin sebagai pontianak di dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam, kini tiba masanya untuk penyerahan takhta Pontianak Malaysia kepada generasi baru iaitu Pontianak 200KG!
Filem komedi santai ini sesuai ditonton oleh semua peringkat umur sekali gus melenyapkan stigma seram apabila berhadapan dengan hantu.

Pontianak 200KG lebih segar
Filem komedi seram berjudul Pontianak 200KG yang diarahkan oleh Suhaimi Lua ini berhasrat untuk membuang tanggapan orang ramai bahawa pontianak tidak semestinya cantik dan menakutkan namun mereka mempunyai perasaan dan ingin menyokong kepelbagaian fizikal.
Diterajui oleh pelakon Aya Kamarudin dan Dottie memegang watak sebagai Melati dan Mewangi yang menjadi pontianak yang sering lapar dan lebih gemar memburu makanan berbanding membunuh manusia.

Disebabkan itu, keadaan di kampung tersebut menjadi huru-hara gara-gara kes kecurian makanan yang semakin meningkat.
Pontianak 200KG ini juga adalah sekuel komedi seram daripada Pontianak 100KG yang ditayangkan secara eksklusif di Tonton.

Selain Aya dan Dottie, filem yang bakal ditayang pada September ini turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya penyanyi ikonik Ziana Zain, Ropie, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad, Malia Baby, Shaf Naufas dan Hairul Aziz.
Tayangan di pawagam 5 September
Filem berjudul Pontianak 200 kg itu bakal menemui penonton pada 5 September ini.
Menurut pengarah iaitu Shuhaimi Lua, filem ini merupakan sambungan kepada telefilem Pontianak 100 kg.
“Filem ini bermula dengan kisah sebelumnya iaitu supertele Pontianak 100 kg kemudian dapat sambutan yang mengalakkan dalam kalangan penonton kemudian saya dapat arahan untuk hasilkan filem pula.

“200 kg tu bermaksud dalam filem ini ada kemunculan dua watak pontianak berbadan besar dan mereka berhijrah ke kampung lain untuk mencari makan, pelbagai aksi komedi dan lucu dipertontonkan buat anda semua nanti,” katanya dalam sidang media preview filem ini malam tadi di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, selaku pengarah filem Shuhaimi berkata ini merupakan filem pertama arahannya dan dia juga berdepan cabaran sepanjang proses pembikinan.

Jelasnya lagi, beliau mengakui beberapa babak filem ini diinspirasikan melalui filem-filem arahan Allayarham Mamat Khalid.
Lagu Naik Hantu bakal berhantu
Kolaborasi unik itu akhirnya tercapai menerusi lagu Naik Hantu, lagu runut bunyi filem Pontianak 200kg. Gabungan suara merdu Shiha dan rap energetik Aya dalam karya terbitan syarikat rakaman Alternate Record itu menarik perhatian ramai kerana keunikan yang ditampilkan.
Naik Hantu merupakan lagu genre Pop Rock hasil ciptaan Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K, diinspirasikan daripada elemen seram dan jenaka untuk filem Pontianak 200kg yang bakal ditayangkan di pawagam tanah air pada 5 September ini.
Dengan lirik catchy tetapi seperti menyimpan sedikit misteri dan irama yang menular, lagu tersebut berhasil menciptakan atmosfera menyeramkan tetapi dalam masa sama menghiburkan.

Shiha mengakui sangat teruja dengan kolaborasi pertama kali bersama Aya menerusi single ketiganya bersama Alternate Records itu.
Lagu Naik Hantu mengisahkan percintaan yang pada mulanya kelihatan tenang dan indah, tetapi lama-kelamaan menyedari ada keburukan pada pasangannya.
Single itu menyampaikan mesej bahawa kita tidak boleh terburu-buru dalam membuat kesimpulan dan harus menyelidik punca sebenar sesuatu kejadian.
Jom tonton Pontianak 200KG
Oleh itu, jom ramai-ramai bersama keluarga dan rakan-rakan ke pawagam berdekatan menonton filem ini. Pastinya anda tidak kering gusi bergelak ketawa dengan komedi yang dipaparkan.
Kami beri 5 bintang untuk filem ini dan ia adalah filem wajib tonton.
