Kuala Lumpur – Pertubuhan Teater Hidayah dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya melalui Geran Sokongan Sektor Kerajaan akan mementaskan Kontemporari Purbawara Teater Nilamsari yang akan berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober 2024 di Panggung Percubaan UPSI, Tanjung Malim.
Teater Nilamsari mendekati ilmu pertahanan diri dalam seni persilatan sambil menerokai perjuangan wanita dari perspektif srikandi. Menurut Pengarah Teater, Yusry Kamaruzaman, mesej utama yang ingin disampaikan adalah tentang perjuangan untuk terus utuh agar tidak berpecah dan kasih sayang sesama manusia.

“Objektif persembahan ini melestarikan wadah seni untuk karyawan teater dengan menyalurkan mesej-mesej yang boleh di sampaikan masyarakat terhadap detik kehidupan bangsa yang pastinya membawa pengertian yang bermakna dengan mengeratkan terhadap generasi muda untuk memperkukuhkan hubungan budaya dalam kalangan masyarakat setempat dan memartabatkan seni karya tanah air melalui seni persembahan yang berkualiti.” ujar Yusry.
“Skrip ini ditulis untuk mengangkat dunia seni mempertahankan diri dalam persilatan, dengan harapan ia dapat mengangkat warisan seni bangsa melalui perjuangan seorang wanita yang merupakan tunjang yang tidak di dendangkan. Melalui pementasan ini, saya berharap masyarakat dapat menghargai seni dan memahami nilai yang terkandung di dalamnya,” tambahnya.
Yusry juga menekankan pentingnya sokongan daripada sektor kerajaan dan jabatan berkaitan agar para penggiat seni dapat terus berkarya untuk bersama mengekalkan warisan budaya.

Teater Nilamsari bukan sahaja akan mempersembahkan seni mempertahankan diri tetapi di gabungkan dengan pengajaran,kesedihan dan juga kelucuan.Ia juga menjadi platform untuk menyemarakkan semangat wanita dalam dunia seni persilatan, serta membuka mata masyarakat untuk menghargai seni dan budaya tanah air.
Teater Hidayah dengan kerjasama utama Universiti Pendidikan Sultan Idris , rakan strategik Persatuan Penulis Dan Peminat Sastera Perak yang akan juga menampilkan persembahan khas oleh johan Sayembara Puisi Kebangsaan dengan adaptasi Puisi Ke Sarang Cenderawasih. Teater Nilamsari dengan barisan para pelakon iaitu Ruby Wahid sebagai watak utama Nilamsari, Kamarul AR sebagai Tok Long Deraman, Panglima Aduka, Ain Sufia, Salman Al Farisi, Khai Sabri, Apai Azha, Dean Sitara, Mardiana Ismail, Shahril Kamil, Azmi Daim dan pelajar-pelajar UPSI serta pesilat-pesilat PSSGM.
Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti UPSI, Dr.Nurzuraina berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan badan bukan kerajaan persatuan NGO luar yang berpengalaman untuk memberikan pendedahan kepada pelajar UPSI apabila berada dalam industri.

“Program ini sangat baik untuk memberi pendedahan kepada pelajar UPSI agar mereka memahami bagaimana proses dalam industri berjalan. Proses pembelajaran formal dan tidak formal adalah dua perkara yang berbeza; kita perlu menyatukan kedua-duanya untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti dan berani berdaya saing, yang mampu meletakkan diri mereka di tempat yang betul semasa di masa akan datang kelak.
“Di Pusat Kebudayaan ini, kami juga berusaha untuk menghubungkan universiti dengan pelajar-pelajar kami dan industri. Itulah sebab utama saya mahu bekerjasama dengan NGO luar; saya juga mengharapkan pelajar-pelajar kita lebih terbuka untuk membina keperibadian mereka,” katanya.
Dr. Norzuraina turut berharap agar Teater Hidayah dapat membuat persembahan yang berkualiti untuk memberi pendedahan kepada pelajar UPSI.
Sinopsis:
Gelanggang silat tertua merencah perpaduan dan persaudaraan penduduk Desa Permata bahana perpecahan apabila Tok Deraman, seorang guru silat,di bunuh oleh manusiia yang tamakkan kedudukan dan kuasa.
Justeru itu ,Nilamsari seorang gadis desa dan anak gadis Tok Deraman yang tangkas dan berani menuntut bela di atas kematian ayahnya.
Tempahan Tiket dan Maklumat Lanjut: Harga Tiket:
Dewasa: RM15
Pelajar/Warga Emas/OKU: RM10
Pelajar UPSI: Kemasukan Percuma
Untuk maklumat lanjut mengenai tiket dan jadual pementasan, layari laman sosial facebook atau instagram Teater Hidayah.

Tentang Hidayah: Teater Hidayah yang diasaskan sejak tahun 1986. Kini 38 tahun Kumpulan Teater Hidayah masih utuh dan terus mewarnai seni teater tanahair. Kepimpinan dan pengasas Teater Hidayah oleh seorang tokoh teater tanah air Tuan Haji Kamarul AR.
Kini pelapis yang meneruskan delegasi Pertubuhan Teater Hidayah oleh saudara Yusry Kamaruzaman selaku presiden Teater Hidayah. Sejak 1986, pasti ramai yang belum mengenali kumpulan ini yang merupakan kumpulan teater yang masih aktif sehinnga hari ini. Teater Hidayah setakat ini telah melahirkan ramai tokoh seni sama ada seni teater mahupun seni lakon amnya, antaranya Dato’ Jalaluddin Hassan,Azman Jantan dan terkini Panglima Aduka.
