Petaling Jaya – Filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu terbitan Metrowealth International Group (MIG) bakal ditayangkan di 14 negara.
Selain Malaysia, antara negara lain yang tersenarai adalah Singapura, Indonesia, Brunei, Australia, Vietnam, Laos, Filipina, Thailand, Kemboja, Turkiye, New Zealand, Rusia dan Myanmar.
Menurut Ketua Pegawai Operasi MIG, David Teo, filem Jangan Pandang Belakang 1 pernah mencetuskan fenomena 17 tahun lalu dengan sambutan dan kutipan diluar jangka.
“Ini adalah antara salah satu faktor yang menyebabkan promoter berminat untuk membawa filem ini ke negara-negara luar.
“Saya sendiri berasa terkejut dan teruja apabila Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu berjaya menembusi pasaran negara Eropah dan negara-negara lain” katanya.
Jelasnya lagi, pengedar antarabangsa berminat untuk mengedar filem ini dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa filem tempatan mula dipandang dan diterima dinperingkat global.
“Inilah realiti dan bukan cakap-cakap saja.
“Di Malaysia, ia akan ditayangkan pada 21 November 2024, jadi di negara-negara luar rantau Asia mungkin seminggu atau sebulan kemudian.
“JPB pertama 17 tahun lalu ditayangkan di enam negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Thailand. Kali ini, ia akan ditayangkan 14 negara yang mana, ada antaranya tak pernah tayang filem Melayu” ujarnya lagi dalam Sidang Media di Ibu Pejabat MIG disini petang Isnin.
David turut menambah, sasaran bagi filem ini dijangka RM30juta dan berharap ianya dapat direalisasikan.
Filem JPB2 ditulis dan diarahkan oleh pengarah, Pierre Andre dan dibintangi barisan pelakon antaranya Emma Maembong, Khatijah Tan, Mawar Rashid, Iedil Dzuhrie Alaudin dan ramai lagi.
