Shah Alam – SERAMAI 201 orang hafiz dan hafizah telah diraikan dalam Majlis Haflah Takrimiyah AKMAL Kali Ke-7 sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian mereka dalam menghafaz al-Quran.
Majlis berkenaan diadakan bagi mengiktiraf usaha dan komitmen para pelajar yang berjaya menamatkan hafazan, selain menjadi platform untuk menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran majlis itu turut disertai dengan pelbagai pengisian keagamaan yang bertujuan memberi motivasi serta dorongan kepada para hafiz dan hafizah agar terus mengekalkan hafazan dan mengamalkan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.
Selain itu, majlis tersebut turut menjadi medan penghargaan kepada tenaga pengajar dan ibu bapa yang banyak memberi sokongan dalam memastikan kejayaan para pelajar dalam bidang tahfiz.
Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd Saifullah Hussin berkata, misi utama AKMAL adalah melahirkan 3000 hufaz setiap tahun.

“Tahun ini kita dapat lihat peningkatan hufaz yang berjaya khatam Al Quran dari tahun sebelumnya, perkara ini membuktikan sistem pembelajaran yang meletakkan target bagi setiap pelajar untuk berjaya menghafaz dalam masa setahun berkesan.
“Sistem kita asasnya adalah target dan kedua perlu fokus dan ketiga adalah kempen. Kita pergiat kempen untuk para pelajar ada sebab utama untuk capai target” katanya dalam sidang media di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam pada Sabtu.
Tambahnya, antara kempen terbesar adalah program Majlis Haflah Takrimiyah AKMAL yang mampu meningkatkan lagi semangat para pelajar giat menghafaz Al Quran mencontohi para hafiz dan hafizah yang berjaya.
“Kita lihat pada masa kini, ramai ibu bapa yang mahu mendaftar anak-anak mereka masuk ke tahfiz, ini kerana stigma bahawa pelajar tahfiz hanya boleh menjadi imam atau bidang keagamaan sudah lama luput. Realitinya, ramai huffaz membuktikan mereka mampu menguasai pelbagai kerjaya profesional bertaraf tinggi.
“Anak-anak huffaz ini bukan sahaja boleh menceburi bidang agama malah boleh mempunyai kerjaya kehebatan menceburi pelbagai bidang profesionalism dan ini terbukti alumni di AKMAL yang kini membina kerjaya sebagai arkitek, doktor, pensyarah dan pelbagai lagi” ujarnya lagi.
Sementara itu, Muhammad Akmal Hadi Hissam, 16, yang berjaya memperoleh Syahadah Hafazan Sughra dan Kubra dalam masa kurang setahun berkongsi amalan membaca terjemahan Al Quran sebelum memulakan proses hafazan.

“Saya amalkan membaca dan memahami terjemahan dahulu bagi menimbulkan rasa minat untuk menghafaz, tips ini dikongsikan oleh senior yang telah berjaya sebelum saya” katanya.
Manakala, Wan Azuadi Wan Yusoff, 49, dan isterinya Normajan Ahmad, 47, melahirkan rasa syukur dan keterujaan apabila keluarganya dinobatkan penerima Anugerah Tajul Waqar apabila kempat-empat anaknya berjaya memperoleh Syahadah Hafazan.

Wan Nur Balqis Alwasimah (anak pertama), Normajan Haji Ahmad (ibu), Wan Azuadi bin Wan Yusoff (bapa), Wan Nur Zulfah Alwadhiyah (anak keempat) dan Wan Muhammad Alwa’ez (anak ketiga)
“Syukur keempat-empat anak saya berjaya menghafaz Al Quran dan berjaya Syahadah kurang setahun.
“Anak-anak memang menunjukkan minat dalam menghafaz dan kami sebagai ibu bapa memberi galakan dan dorongan untuk mereka cintakan Al Quran kerana dengan Al Quran sahajalah mampu mendidik dan menjaga mereka nanti.

“Saya memilih AKMAL kerana yakin dengan sistem pembelajaran yang ditawarkan selain teknik didikan hafazan yang diterapkan membuatkan anak-anak bertambah minat dengan Al Quran sehingga berjaya Syahadah” katanya.
Dalam usaha melahirkan generasi Huffaz berpendidikan tinggi, AKMAL kini mengorak langkah kehadapan dan bakal membuka tiga buah lagi pusat tahfiz di Ampang, Kelantan dan Melaka pada tahun hadapan.
