Photo 2 (8)

Johor Bahru —Johor Corporation (JCorp), melalui anak syarikatnya JLand Group (JLG), hari ini secara rasmi melancarkan operasi kontenanya di Pelabuhan Tanjung Langsat yang merupakan satu pencapaian penting yang bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri minyak, gas dan logistik di pentas global. Pembangunan ini menandakan satu lagi langkah penting yang telah diambil dalam mentransformasikan ekonomi negara selari dengan matlamat Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bakal merangsang pertumbuhan di Wilayah Selatan negara.

Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Anthony Loke Siew Fook selaku Menteri Pengangkutan dan diiringi oleh Yang Berhormat Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur & Komunikasi Negeri Johor yang mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan Yang Berbahagia Datuk Sr. Akmal Ahmad, Pengarah Bahagian Hartanah & Infrastruktur Johor Corporation dan Timbalan Pengerusi JLand Group yang menandakan satu lagi pencapaian besar dalam transformasi ekonomi Johor Selatan dalam mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penting bagi sektor perdagangan dan logistik serantau.

Turut dihadiri Yang Berhormat Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Yang Berusaha Tuan Haji Rosnan Fathlal, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor; serta Yang Berbahagia Datuk Shahrull Allam Shah Abdul Halim, Pengarah Eksekutif TLP Terminal Sdn Bhd. Pelancaran Pelabuhan Tanjung Langsat hari ini yang diusahakan bersama oleh TLP Terminal dan Puncak Kosmo adalah selaras dengan visi strategik negeri Johor untuk memajukan lagi pelabuhan tersebut sebagai pintu masuk yang berdaya saing dan cekap untuk memacu pertumbuhan masa hadapan.

“Kepakaran TLP dalam mengendalikan kargo pukal, separa pukal dan cecair, terutamanya dalam sektor petroleum dan minyak boleh dimakan (edible oil), telah menjadikannya sebagai teras rangkaian logistik dan rantaian bekalan Johor. Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat telah menarik pelaburan sebanyak RM34 bilion dan mewujudkan lebih 15,500 pekerjaan. Pada tahun 2023 secara khususnya, Johor telah berjaya memperoleh pelaburan bernilai RM43.1 bilion yang mana telah menghasilkan lebih daripada 19,000 pekerjaan, yang membuktikan kelebihan strategik dan kekuatan industri negeri ini,” ujar Yang Berhormat Tuan Anthony Loke Siew Fook selaku Menteri Pengangkutan.

Loke turut mengucapkan tahniah kepada JCorp atas rancangan mereka
untuk meningkatkan kemampuan Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat (TLIC) serta membangunkan kawasan perindustrian baharu di bahagian timur Johor. Dengan langkah yang diambil ini, peluasan TLIC bakal meningkatkan jumlah kontena secara signifikan dan menjadikan Pelabuhan Tanjung Langsat sebagai pintu masuk utama bagi industri dalam kawasan TLIC dan kawasan sekitarnya.

Beliau turut menegaskan rancangan TLP untuk memperluaskan kemudahan kontenanya bagi memenuhi permintaan masa hadapan dan menarik perniagaan baharu, sekali gus mengukuhkan peranan pelabuhan dalam memacu pertumbuhan ekonomi Johor. Beliau juga menekankan kepentingan meningkatkan produktiviti dan menyediakan peralatan yang sesuai bagi memenuhi keperluan industri dengan cekap. Kementerian Pengangkutan turut menyokong sepenuhnya usaha TLP dalam meningkatkan kemudahan kontenanya bagi mengendalikan jumlah kargo yang dijangka akan meningkat di kawasan ini.

“Melangkah ke hadapan, Tanjung Langsat bersedia memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada syarikat multinasional. Dengan kemudahan kontenanya, TLP memainkan peranan penting dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal menyumbang kepada peningkatan ekonomi serantau,” katanya.

Selaras dengan peningkatan permintaan logistik yang dipacu oleh kedudukan strategik dan kestabilan geopolitik Malaysia, kerajaan telah melancarkan 12 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) dan menekankan sektor minyak dan gas sebagai komponen penting dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP). Dengan pelancaran ini, TLP Terminal Sdn Bhd (TLPT) berhasrat untuk memainkan peranan utama dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik minyak dan gas serantau terkemuka.

Pengarah Bahagian Hartanah & Infrastruktur Johor Corporation dan Timbalan Pengerusi JLand Group, Yang Berbahagia Datuk Sr. Akmal Ahmad dalam ucapannya berkata, “Operasi awal TLP bermula pada tahun 2003 dengan tiga dermaga yang pada mulanya berkhidmat kepada Dialog Group. Apabila permintaan meningkat, TLP mula memberi perkhidmatan kepada pemain industri tempatan dan antarabangsa termasuk syarikat seperti FGV, PUMA Energy dan Musim Mastika. Menyedari perubahan dinamik perdagangan global, pelabuhan ini telah melabur untuk mempelbagaikan operasinya serta meningkatkan infrastruktur, teknologi, dan keupayaan tenaga kerjanya.”

Beliau menambah bahawa pelancaran ini menandakan permulaan operasi kontena di Pelabuhan Tanjung Langsat, di mana Puncak Kosmo telah memainkan peranan penting sebagai rakan utama kepada JCorp dalam memajukan pengembangan pelabuhan dan keupayaan operasinya, sekali gus memastikan pelabuhan ini mampu memenuhi permintaan dinamik dalam industri kontena dengan lebih berkesan.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan, dan berkata, “Transformasi ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama dan sokongan daripada pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri Johor, pihak berkuasa Persekutuan dan Negeri, serta rakan kongsi TLP dalam industri logistik mahupun perkapalan. Bagi pihak JCorp, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat di atas kepercayaan dan kerjasama mereka dalam merealisasikan pencapaian ini.”

Pelabuhan Tanjung Langsat juga sedang membangunkan pelabuhan kontena ketiga di Johor bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada syarikat multinasional. Inisiatif ini akan melengkapkan pelabuhan yang sedia ada dalam menyumbang kepada pelan ekonomi negeri Johor untuk menarik pelaburan, mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan tambahan untuk komuniti tempatan.

Di samping itu, lokasi strategik Tanjung Langsat ini telah menarik pelaburan baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. EcoCeres Renewable Fuels Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong telah komited untuk melabur sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan kemudahan pengeluaran Bahan Api Penerbangan Lestari. Pembinaan sedang berjalan, dengan operasi dijangka bermula tahun depan, sekali gus merancakkan lagi penciptaan pekerjaan dan perkembangan perniagaan tempatan.

Menyedari potensi Tanjung Langsat, kerajaan negeri Johor telah menyenaraikan kawasan ini dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Inisiatif ini akan menarik lebih banyak pelabur dan mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Tanjung Langsat sebagai hab utama dalam pengendalian kargo cecair, separa pukal dan kontena, memenuhi permintaan pelanggan sedia ada dan yang akan datang.

Di samping itu, Pasir Gudang dan Pengerang telah muncul sebagai pusat perindustrian utama dalam Tanjung Langsat. Sepanjang 20 tahun yang lalu, kawasan ini telah menarik pelaburan yang besar, terutamanya daripada sektor petrokimia, minyak sawit dan elektronik. Rangkaian industri yang kukuh ini dijangka akan terus berkembang, memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Johor.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading