Kuala Lumpur – Penyanyi baru, Rosmah S. Sengari @ Basar atau lebih mesra dengan panggilan Soma melahirkan rasa syukur atas kelahiran albumnya baru-baru ini. Album bertajuk Perjalanan bukan sahaja menjadi platform untuk menunjukkan bakatnya, tetapi juga sebagai sebuah penghormatan kepada komposer legenda, Allahyarham S.Atan. Menampilkan gabungan lagu-lagu yang dihasilkan oleh dua komposer terkenal, album ini membawa pelbagai elemen sejarah muzik Malaysia yang masih relevan.
Sebagai anak kelahiran Selangor, Soma memulakan langkahnya dalam industri muzik dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.
Beliau pernah dinobatkan sebagai naib juara Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM 2009 dan setahun kemudian muncul sebagai juara Bintang Klasik RTM 2010.

Pengalaman ini memperkukuhkan kedudukan Soma dalam industri, di samping membuka peluang untuknya bekerja dengan komposer ternama seperti Allahyarham S. Atan.
Album Perjalanan menjadi titik penting dalam karier Soma. Ia mempersembahkan lagu-lagu yang menggabungkan karya Allahyarham S. Atan dan Belle Fatah, termasuk dua lagu lama, Curahan dan Dugaan, yang diberi nafas baharu.
“Alhamdulillah, hari ini lancarlah album ini dan sebagai penyanyi baru, saya mengharapkan semua lagu-lagu dalam album ini diterima peminat.
“Banyak kenangan bersama arwah S.Atan dalam menghasilkan album ini dan beliau juga banyak mendidik saya untuk melontarkan vokal dengan baik” katanya dalam sidang media di hotel Seri Pacific semalam.
Soma turut menambah, beliau bersedia menerima kritikan demi memperbaiki diri dan mutu suaranya.

“Saya tidak boleh terlalu selesa dan perlu bersedia untuk dikritik, lebih-lebih lagi dalam dunia moden sekarang dimana semuanya dihujung jari, masyarakat boleh memberi komen terus di media sosial, jadi saya perlu menerimanya dan memperbaiki untuk terus diterima dalam industri ini.
“Album ini adalah lebih daripada sekadar projek seni. Ia merupakan penghormatan kepada Allahyarham S. Atan, seorang komposer ikonik yang telah memberi inspirasi kepadanya sejak awal pembabitan dalam seni suara.
Dalam perkembangan sama, aspek yang membezakan album ini adalah pemulihan semula lagu-lagu yang telah tertangguh. Dua lagu, Curahan dan Dugaan, pada mulanya dirakam pada tahun 1996 namun terhenti atas beberapa sebab. Melalui sentuhan semula dan susunan muzik yang lebih moden oleh Belle Fatah, lagu-lagu ini akhirnya berjaya dimuatkan dalam album Perjalanan.
Album ini juga memuatkan dua lagu yang sangat istimewa, iaitu Kerlipan Langit Lebaran dan Bisikkanlah Kekasih, yang merupakan hasil karya Allahyarham S.Atan yang belum sempat dirakamkan sebelum pemergian beliau. Dengan itu, album ini berfungsi sebagai penyambung legasi muzik Allahyarham.
“Saya dedikasikan album ini kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai tanda cinta dan penghormatan saya terhadap seni suara yang menjadi sebahagian daripada jiwa saya,” kata Soma.

Senarai Lagu, Komposer dan Lirik Album Soma – Perjalanan:
A) Komposer: Datuk S.Atan
- Perjalanan (Lirik oleh Soma)
- Memori Bulan Disember (Lirik oleh Siso Kopratasa)
- Bebaskan Aku (Lirik oleh Siso Kopratasa)
B) Komposer (Pengaturan Muzik Baru): Belle Fatah
- Curahan (Lirik oleh Din J, Soma)
- Dugaan (Lirik oleh Din J, Soma)
Penerbit: Belle Fatah
Penerbit Eksekutif: Rosmah
