d6d5de9d-c835-442d-ad45-79406ad1df09

Kuala Lumpur – Program Baucar Buku MADANI Pelajar IPT Fasa 2 yang telah dilancarkan bagi membantu para siswa mendapat sambutan tinggi dan menunjukkan sebanyak 500,000 baucar bernilai RM100 telah ditebus.

Program yang dilancarkan pada 29 Oktober 2024 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, itu bertujuan menyokong keperluan akademik pelajar dengan memberi akses lebih mudah kepada bahan bacaan berkualiti. Sambutan menggalakkan itu jelas menunjukkan keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan.

Menurut kenyataan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bersama MySiswaPlace, program ini jelas membuktikan keprihatinan usaha pihak kerajaan dan disokong beberapa pihak mampu memberi nilai tambah positif kepada seluruh mahasiswa.

“Penebusan baucar yang dijalankan melalui platform rasmi MySiswaPlace, adalah selari dengan visi Menteri Pendidikan Tinggi untuk menyediakan pusat sehenti digital bagi memudahkan pelajar mengakses pelbagai perkhidmatan.

“Program ini bukan hanya mempermudah pembelajaran mahasiswa, tetapi juga memperkukuh ekosistem pendidikan di seluruh negara.

“Platform ini telah mencatatkan peningkatan trafik yang luar biasa sejak pelancaran program, mencerminkan sambutan dan penerimaan tinggi pelajar terhadap inisiatif ini.

“Data terkini menunjukkan hampir 500,000 baucar berjaya ditebus, dengan 60% daripadanya merupakan pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 29% dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), dan 10% dari pelajar di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Peningkatan kadar penebusan ini bukan sahaja menunjukkan tahap kesedaran tinggi pelajar tentang manfaat program ini, tetapi juga mencerminkan komitmen mereka dalam memanfaatkan inisiatif yang disediakan untuk meningkatkan kualiti penddikan mereka.

Kejayaan ini turut disokong oleh lebih daripada 900,000 naskhah buku fizikal dan langganan e-buku yang berjaya dijual melalui platform MySiswaPlace. Ini melibatkan kerjasama dengan lebih daripada 300 syarikat penerbit,pengedar, dan penjual buku di seluruh negara.

Koleksi bahan bacaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai genre dan bidang, dari buku akademik hingga bahan rujukan profesional dan novel, yang sesuai dengan keperluan pendidikan pelajar IPT.

“Dengan sokongan meluas daripada komuniti penerbit dan pengedar, program ini bukan sahaja menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti, tetapi juga membantu memperkukuh industri penerbitan tempatan” katanya.

Jelas YPS, jumlah penjualan dijangka akan terus meningkat dengan signifikan, terutama menjelang tarikh akhir program penebusan baucar buku pada 31 Disember 2024.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading