Kuala Lumpur – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia, Solnovation Analytics Sdn Bhd dengan syarikat pemula Jepun, Manaebi dalam pemerkasaan sumber manusia dan maklumat telah dimeterai pada Khamis lalu.
Dalam kerjasama itu, Leave a Nest Group (LVNS) menerusi Center of Garage Malaysia (CoG) bertindak sebagai pembuka laluan dengan mewujudkan ekosistem kerjasama antara dua entiti tersebut.
Manebi yang kini telah melebarkan sayapnya di Malaysia melalui program sokongan selama tujuh bulan oleh Leave a Nest sejak Ogos 2024 dibawah AMEICC (Menteri Ekonomi ASEAN – Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi dan Perindustrian METI Jepun) bersedia menjalin kerjasama bagi membantu meningkatkan pembangunan sumber manusia dalam syarikat, institusi pendidiakn dan agensi kerajaan melalui teknologi.
Manakala, Solnovation Analytics Sdn Bhd berperanan menyumbang kepakaran dalam mempromosikan dan membangunkan infrastruktur pintar untuk industri masa depan disamping merangsang pertumbuhan ekonomi pengkomersilan.
Pengasas Solnovation Analytics, Cyrill Mathias berkata kerjasama ini sebagai tanda aras peningkatan ekonomi melalui kerjasama dua buah negara antara Malaysia – Jepun.
“Kami menawarkan kepakaran dalam teknologi dan ekosistem secara universal bagi meningkatkan kehidupan manusia. Kami mempunyai pelbagai cabang industri yang boleh diperluaskan antaranya teknologi hijau, pendigitalan, sistem data satelit, bandar pintar, latihan dan banyak lagi.
“Dalam kerjasama ini, kami memanfaatkan teknologi bagi memberi nilai tambah kepada Manebi dalam pembinaan dan pengisian aplikasi bagi membantu tenaga kerja Malaysia. Inilah cara kami membantu meningkatkan kehidupan manusia dan membolehkan orang ramai mendapat manfaat pembangunan dan maklumat platform dipertingkatkan” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Manebi, Tomoya Tajima menambah aplikasi yang dibangun melalui kerjasama ini dapat membantu lebih ramai tenaga kerja Malaysia menyesuaikan diri dengan sistem kerja, undang-undang, budaya dan persekitaran dalam syarikat Jepun.
“Kami memahami persekitaran dan cara kerja di Malaysia berbeza dengan negara kami, jadi kami bakal membangunkan satu aplikasi dan dilengkapi dengan teknologi serta pengisian dari Solnovation Analytics untuk mendidik dan memberi pemahaman lebih jelas kepada pengguna.
“Aplikasi itu nanti boleh digunakan oleh tenaga kerja di Malaysia yang bekerja dengan syarikat Jepun dalam pelbagai industri yang ada di Malaysia termasuk pembuatan, automotif, teknologi dan sebagainya.

“Pelbagai pengisian boleh didapati dalam aplikasi tersebut seperti permainan interaktif, latihan visual, info-info dan kemasan AI dengan tujuan pendidikan dan pemahaman yang lebih mudah” katanya dalam sidang media di Hive5, Mranti Park.
Sementara itu, Leave a Nest menyediakan sokongan yang disesuaikan untuk setiap peringkat perniagaan dan industri permulaan dan memudahkan pengenalan dengan organisasi Malaysia, termasuk konglomerat, kerajaan agensi, syarikat permulaan, inkubator dan penyelidik akademik, sambil berkongsi pandangan tentang cabaran dan peluang tempatan.
Turut hadir dalam sidang media, Pengasas Bersama Solnovation Analytics, Devan Rajam, Pengarah Pemasaran Teknologi, Agrikultur dan telekomunikasi, Mark D Souza, Ketua Kakitangan Manebi, Kenta Kato dan Pegawai Pembangunan Strategi Leave A Nest, Tanami Shuhei.
