MG-HQ-07022025_04-630x420

Kuala Lumpur –  Pengusaha vape meminta kerajaan meneliti sebaiknya cadangan mengharamkan rokok elektronik dengan mempertimbangkan nasib mereka yang beroperasi secara sah dan menepati kualiti.

Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil, berkata pengharaman penuh industri bukan jawapan kepada pelbagai isu berbangkit seperti penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape.

Menurut beliau, pengharaman penuh industri vape di Malaysia bukanlah penyelesaian yang adil dan berkesan terhadap isu yang sedang berlaku seperti laporan mengenai penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape.

Beliau berkata, pihaknya dan industri tempatan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan pasaran vape di Malaysia lebih selamat, teratur dan memberi manfaat kepada pengguna serta negara.

“Nanostix menghargai usaha kerajaan selama ini dalam melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengawal penggunaan rokok dan vape demi kesihatan awam termasuk mengambil pendekatan kawal selia terhadap produk vape dengan pada 2024, kerajaan memperkenalkan cukai ke atas produk vape sebagai langkah sederhana untuk mengawal selia produk tersebut.

“Tetapi pada masa yang sama, kami ingin menekankan pertimbangan utama bagi memastikan pelaksanaan yang lebih seimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2 Feb, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sedia meneliti semula pengharaman vape secara menyeluruh, selepas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Akin memberitahu agak sukar untuk kerajaan membuat keputusan drastik mengharamkan vape.

Sebaliknya, Shamsul Iskandar melihat yang lebih penting ketika ini adalah aspek kawalan, khususnya bagaimana pemain industri vape mengawal ‘ekosistem’ perniagaan mereka supaya tidak dicemari penjualan cecair vape yang dicampur bahan terlarang terutama dadah.

Mengulas lanjut, Shahabudeen berkata pengharaman terus industri vape tidak adil kepada pengusaha tempatan yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi.

Katanya, Nanostix membayar lebih RM60 juta cukai dan duti eksais kepada kerajaan pada tahun lalu, selain membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Sebaliknya, produk import yang tidak dikawal dan produk haram ini tidak memberikan sumbangan kewangan kepada kerajaan.

“Mereka tidak membayar cukai, tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan produk dan dibiarkan memasuki pasaran secara haram,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mengharamkan sepenuhnya pengimportan cecair vape dari luar negara, pada masa sama meningkatkan penguatkuasaan di setiap premis jualan vape.

“Bukannya menutup industri tempatan yang sah dan terkawal.

“Nanostix dan industri tempatan sedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan pasaran vape lebih selamat,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading