Semenyih – Digelar ‘Sultan’ di Indonesia, selebriti media sosial, Aisar Khaled mahu menggunakan pengaruh dan peluang yang ada untuk mempromosikan baju Melayu di negara seberang.
Aisar, 25, yang juga duta Elrah Exclusive berkata, beliau akan memperkenalkan baju kebangsaan di negara tersebut dan berharap diterima baik.
Aisar yang kini memiliki lebih 17 juta pengikut di TikTok, menyifatkan kerjasamanya dengan Elrah Exclusive itu akan memberi impak positif dalam memperkenalkan dan mengembangkan budaya Malaysia.

Mengulas lanjut, Aisar berkata, proses untuk memperkenalkan diri dan jenama ke pasaran baharu bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan pengalaman yang dimiliki, dia bersedia menghadapi cabaran tersebut dengan positif.
“Apabila dilantik sebagai duta, saya ambil peluang ini untuk gunakan pengaruh yang ada di Indonesia untuk promosikan baju kebangsaan Malaysia di sana.
“Jenama Elrah sudah cukup dikenali di Malaysia dan diterima baik, jadi ini peluang untuk kembangkan dan lebarkan sayap pula ke Indonesia. Saya pun semakin terkenal di Indonesia.
“Masyarakat Indonesia setiap kali Syawal mereka lebih gemar pakai jubah dan kurta, pemakaian baju Melayu tiada. Saya bawa nama Malaysia dan dalam masa sama bawa budaya negara ke negara jiran” katanya dalam pertemuan ketika sesi photoshot di warehouse Elrah disini.

Jelasnya lagi, Elrah Exclusive mempunyai nilai-nilai elegan yang seiring dengan misi untuk membantu orang lain melalui peluang perniagaan juga merupakan antara faktor dirinya memilih jenama ini untuk kerjasama mempromosikannya.
“Saya akui ada sedikit tekanan untuk bawa nama Malaysia dan promosi baju Melayu di sana, kerana sebagai ‘public figure’ saya perlu tunjukkan contoh yang baik.
“Saya perlu menjaga karakter dan imej saya, itu adalah tanggungjawab yang besar untuk digalas” ujarnya
Pernah menjadi ejen jualan Elrah Exclusive
Aisar turut berkongsi kisahnya pernah menjadi ejen jualan pakaian Elrah Exclusive pada tahun 2019.
“Saya pernah menjadi ejen jualan jenama ini dan berniaga di pasar malam dan festival jualan pada bulan puasa, ia satu pengalaman yang mengajar saya berusaha dari bawah sehinggalah dikenali.
“Saya pernah berseloroh bersama-sama dengan rakan jualan dimana sepatutnya Elrah meletakkan gambar saya pada banner dan Alhamdulillah kata-kata itu menjadi realiti sekarang dimana pengasas Elrah memilih saya sebagai duta jenama pada tahun ini” katanya.

Selain daripada berkerjasama dengan Elrah dalam mempromosikan pakaian, Aisar juga mahu menggunakan platformnya untuk memberi impak yang lebih besar.
Aisar berkata, pihaknya mahu meningkatkan keterlibatan dalam aktiviti sosial yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya dalam membantu mereka yang memerlukan.
