d1c14f29-e487-441d-b90e-766c462a75f5

PUTRAJAYA: Selepas hampir 20 tahun beroperasi, Pusat Beli-Belah Alamanda bakal berwajah baharu menerusi pengubahsuaian secara besar-besaran. Ini merupakan pembaharuan terbesar untuk pusat beli-belah itu sejak pembukaannya pada 2004.

Pengubahsuaian ini merupakan projek pembangunan terbesar yang dilancarkan oleh pemilik premis, Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan membawakan kepelbagaian rangkaian butik serta rakan niaga bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan

Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) membelanjakan lebih RM106 juta untuk menaik taraf pusat beli-belah Alamanda di sini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim.

Beliau berkata, langkah menaik taraf Alamanda itu melibatkan ruang lantai berkeluasan lebih 200,000 kaki persegi dan membawa beberapa tarikan baharu seperti taman tema Escape Putrajaya, panggung wayang dan penambahan lot kedai.

“Ini merupakan projek pengubahsuaian terbesar yang pernah dilancarkan oleh PjH sejak Alamanda dibuka pada 2004.

“Setelah 20 tahun, tiba masanya kita menaik taraf pusat beli-belah ini. Alamanda yang baharu ini telah berjaya membawa wajah baharu dan saya yakin akan menjadi pemangkin kepada Putrajaya secara keseluruhannya,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian penaiktarafan pusat beli-belah itu di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan.

Izwan Hasli turut menyatakan komiten PjH untuk memajukan Putrajaya berdasarkan tiga nilai utama iaitu nilai pemangkin, nilai komersial dan nilai sosial.

“Insya-Allah kita akan jadikan Putrajaya ‘The Best Address In Malaysia’ – Alamat Yang Terbaik di Malaysia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan PjH bakal membuka hotel baharu iaitu Fraser Residence di sini menjelang akhir tahun ini, merupakan hotel ketiga milik syarikat itu selepas The Everly Hotel dan DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside.

Dalam perkembangan lain, Izwan Hasli berkata PjH dan Pulse Group milik Perbadanan Putrajaya (PPj) akan bekerjasama untuk menganjurkan Festival Makanan ASEAN pada bulan Ramadan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Beliau berkata, dua hotel milik PjH akan bekerjasama dengan Pulse Grande Hotel dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) milik Pulse Group dan Perbadanan Putrajaya bagi menjayakan festival tersebut.

“Menu mereka akan membawa cita rasa ASEAN. Secara tidak langsung, kita akan dapat mempromosikan Kepengerusian ASEAN kepada semua,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading