Shah Alam – Penganjuran Selangor Future Cup 2025 bagi kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) bakal disertai 64 sekolah menengah seluruh Selangor menutup tirainya pada Ahad. Kejohanan itu menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning merangkul juara sulung selepas menewaskan SMK Saujana Utama, Kuala Selangor.
Timbalan Presiden TODAK, En Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri berkata, penganjuran kali ini menunjukkan kejayaan dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri dan berhasrat menganjurkan kejohanan paa skala besar untuk tahun hadapan.

“Inisiatif kejohanan ini bertujuan mengembangkan bakat pelajar bawah 17 tahun di seluruh Selangor dalam bidang sukan elektronik (e-sukan) secara kompetitif serta membina kemahiran strategik, kepimpinan, dan kerjasama berpasukan.
“Kejohanan ini bakal menjadi platform untuk mengenal pasti bakat muda di peringkat sekolah menengah yang mana mereka ini akan dibimbing menerusi program e-sukan profesional oleh Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK Academy,” katanya dalam sidang media di pasaraya Aeon, disini.
Tambahnya, TODAK Academy turut menawarkan penajaan biasiswa bernilai RM160,000 kepada pemenang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Kemahiran.

“Sebahagian inisiatif ini untuk kita tonjolkan kepada masyarakat bahawa kejohanan e-sukan ini tidak mengganggu dan mengenepikan aspek akademik dalam kehidupan mereka.
“Sokongan rakan strategik ini membuktikan komitmen kami dan disokong Kerajaan Negeri dalam menjadikan e-sukan sebagai sukan arus perdana serta berpotensi membangun ekosistem keusahawanan digital dan industri kreatif,” jelasnya.
Ujarnya lagi, E-sukan kini semakin berkembang sebagai satu industri yang berpotensi besar, dan Selangor Future Cup 2025 bukan sekadar kejohanan, tetapi juga peluang untuk anak muda mengembangkan kerjaya mereka dalam bidang ini. Dengan penajaan biasiswa dari TODAK Academy, pelajar berbakat dapat terus maju bukan sahaja sebagai pemain, tetapi juga sebagai profesional dalam industri e-sukan dan teknologi digital.

Dalam kejohanan Selngaor Future Cup kali pertama ini, SMK Kota Kemuning membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, berlian bernilai RM20,000 dan biasiswa penuh bernilai RM160,000 bagi Diploma Kemahiran Malaysia tajaan Todak.
Sekolah tersebut turut memenangi RM30,000 untuk pembangunan hab e-sukan, trofi, pingat dan barangan eksklusif daripada SRG dan Todak.
Pemain SMK Kota Kemuning terdiri Wong Kae Juen, 17; Muhammad Fariez Arsyad Zuriadi, 16; Muhammad Imran Muhamad Aswad, 16; Anantha Raj Kumar, 16; S Phiraphad, 17 dan jurulatih Adib Sulaiman Mohd Mulyadi, 17.
SMK Saujana Utama selaku naib juara membawa pulang wang tunai RM2,500 manakala tempat ketiga (SMK Seksyen 19) dan tempat keempat (SMK Bandar Sunway), masing-masing memperoleh RM1,000, trofi dan barangan eksklusif SRG dan Todak.
