Melaka – Birkin International Hotel membuat pelancaran awal bagi memperkenalkan kecanggihan dan kelestarian hotel itu.
Terletak di pinggir Selat Melaka, hotel itu mempunyai 526 bilik untuk memberikan pengalaman mewah bertaraf dunia kepada pelancong di dalam negara dan antarabangsa.
Direka oleh pasukan arkitek, pereka dalaman dan perancang landskap, hartanah ikonik bernilai RM500 juta ini mentakrifkan semula seni hospitaliti dengan menggabungkan kecanggihan bertaraf dunia dan komitmen terhadap tanggungjawab alam sekitar dan sosial.

Hotel itu terletak di Pantai Klebang dan berdekatan dengan kubu A Famosa, Bukit St. Paul, Muzium Istana Kesultanan Melaka, Kuil Cheng Hoon Teng, Jonker Street dan The Stadthuys, serta kawasan perniagaan utama dan hab budaya.
Pengurus besarnya, Simon Tan berkata, pembangunan hotel mewah 526 bilik dengan kos pembangunan kasar RM500 juta oleh YeaShin International Development Co. Ltd. dari Taiwan melalui anak syarikatnya, YeaShin Construction Sdn. Bhd adalah yang pertama di Malaysia.

“Ia menjadi mercu tanda kecanggihan dan kemampanan, untuk menawarkan pengalaman menginap yang tiada tandingannya untuk pengembara di serata dunia.
“Birkin International Hotel mentakrifkan semula seni hospitaliti, menggabungkan kecanggihan bertaraf dunia dengan komitmen terhadap tanggungjawab alam sekitar dan sosial,” katanya.

Menurutnya, pihak hotel juga komited terhadap kemampanan dengan mengutamakan inisiatif seperti sistem pengurusan udara dan bau canggih, sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) pintar serata penghasilan air menggunakan osmosis berbalik bagi memastikan standard kecekapan sumber yang tertinggi.
Hotel itu merangkumi Deluxe Suite, Deluxe Premier Suite, Deluxe Seaview Suite, Family Suite Seaview, Family Suite, Family Premier Suite dan Presidential Suite serta dilengkapi dengan tempat tidur premium, kelengkapan bilik mandi berkualiti tinggi dan dalaman yang elegan.

Keunggulan kulinari adalah tunjang utama penawaran Birkin International Hotel, di mana tetamu boleh menikmati hidangan bertaraf dunia di Birkin Kitchen, merasai kemahiran fine dining di Nalu Fine Dining, atau bersantai dengan koktel khas di Blu Bar.
Birkin International Hotel juga menawarkan pelbagai kemudahan bertaraf dunia yang direka dengan teliti untuk mencipta pengalaman kepada pengunjungnya seperti kolam renang luar di tingkat tujuh dengan pemandangan panorama Selat Melaka dan dilengkapi dengan sundeck untuk bersantai.
Ia turut dilengkapi dengan Tranquility Spa & Wellness Center, sebuah tempat untuk peremajaan dan berehat holistik serta Birkin Kids Club dan taman permainan, sesuai untuk pelancong keluarga dengan anak kecil.

Selain itu, ia menawarkan pusat kecergasan 24 jam yang serba lengkap, direka untuk gaya hidup aktif manakala Traveller’s Gift Shop pula menawarkan cenderamata yang diinspirasikan secara tempatan dan keperluan pilihan.
Untuk acara korporat dan perayaan, Grand Ballroom serta ruang mesyuarat serba guna juga disediakan dan hotel ini juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan ulang-alik ke lapangan terbang.
Inisiatif Hijau Birkin International Hotel untuk Kelestarian Alam
Merupakan hotel pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi ini, sistem ini menapis asap, minyak, dan bau dari dapur sebelum dilepaskan kembali ke alam sekitar, menjimatkan tenaga dan memelihara kualiti udara.
Birkin International Hotel turut memperkenalkan sistem RO dalaman yang canggih untuk menyediakan air tulen, selamat, dan mesra alam kepada tetamu, menjadikannya hotel pertama di Malaysia yang menerapkan teknologi ini.
Manakala, pakaian Seragam dapur (uniform) dihasilkan daripada plastik laut terbuang, dengan program kitar semula 360 darjah untuk mengitar semula lebihan fabrik. Hotel ini juga merupakan perintis dalam langkah ini di Malaysia.

Sebagai hotel pertama di Melaka yang menjalankan program ini, makanan lebihan akan disumbangkan kepada bank makanan (food bank) tempatan dan kebangsaan untuk membantu komuniti yang memerlukan.
Selain itu, mereka juga memanfaatkan sisa makanan dengan mengubahnya menjadi baja kompos. Air hujan di kitar semula untuk kegunaan seperti penyiraman landskap, menjimatkan sumber air semula jadi.
Bagi sistem pemanasan, pengudaraan, dan penyaman udara yang bijak diselaraskan berdasarkan cuaca dan jumlah penghuni untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga.
Inilah Komitmen pihak hotel untuk kelestarian alam. Selain itu, turut dilaksanakan langkah-langkah lain seperti polisi kitar semula, penggunaan plastik minimum, sumber makanan lestari, derma pakaian lama, dan sistem pengairan pintar. Semua ini menjadikan Birkin International Hotel pelopor dalam hospitaliti yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
