Kuala Lumpur – Selepas kejayaan pembangunan semula projek perumahan 1Razak Mansion, terdapat 5 buah flat yang dirangka untuk dibangunkan semula pada masa ini.
Pengurus Projek Pembangunan JL 99 Group, Mohamad Hazri Aziz berkata, projek 1Razak Mansion merupaka satu ‘benchmark’ kepada projek-projek akan datang.

“Selepas 1Razak Mansion, terdapat lima lagi flat dalam proses pembangunan semula antaranya, Flat Sutera, Taman Desa Bakti, Flat Taman Maluri di Cheras, Flat Taman Wilayah, Selayang, Flat Taman Sri Lembah dan Flat Taman Sri Endah di Sri Petaling.
“Kelima-lima flat ini telah dibuat bancian untuk mengenal pasti penduduk dan pemilik yang sah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berautoriti” katanya.
Tambahnya, pihak pemaju masih lagi dalam proses mendapatkan persetujuan dari penduduk dan pada masa ini perkembangan positif diberikan oleh pihak terlibat.
“Buat masa ini, masih lagi dalam proses mendapatkan consent threshold penduduk dan setakat ini kami terima 97% di Flat Taman Desa Bakti dan lebih 75% di Flat Taman Maluri dan flat-flat yang lain mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan.
“Bagi Flat Taman Desa Bakti, pihak kami sedang menunggu garis panduan pindaan yang akan dibentangkan dalam parlimen berkenaan dengan akta pembaharuan semula RUU dan URA dimana pihak kami akan memulakan sesi libat urus yang terakhir setelah mendapat pengesahan dari DBKL, KPKT dan yang lain untuk langkah seterusnya dilakukan pihak pemaju” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, rang undang-undang (RUU) berkenaan mengutamakan kepentingan penduduk sedia ada dengan memastikan mereka diberi unit baharu sebelum sebarang kerja meroboh atau pembangunan semula dilaksanakan.
Sebagai rekod, berdasarkan cadangan Subseksyen 14(1), mana-mana pihak yang terlibat dalam projek pembaharuan mesti diberi pampasan sama ada dalam bentuk unit pengganti atau bayaran tunai yang sama nilai atau lebih tinggi daripada unit asal dari segi nilai dan kualiti.
Ini bagi memastikan bahawa pemilik rumah tidak mengalami sebarang kerugian dari segi hak pemilikan, saiz unit atau akses kepada kemudahan asas yang mereka miliki sebelum ini.

Dalam pada itu, Kor Ming menjelaskan bahawa ketika ini Seksyen 57 Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) menetapkan bahawa persetujuan 100 peratus diperlukan bagi penamatan hak milik strata.
“RUU PSB mencadangkan nilai ambang pada tahap 80 peratus bagi bangunan berusia kurang 30 tahun, manakala 75 peratus bagi bangunan melebihi 30 tahun, dan 51 peratus bagi bangunan yang tidak selamat dan terbengkalai,” menurutnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa KPKT telah mengenal pasti 534 kawasan berpotensi untuk pembangunan semula bandar di Semenanjung Malaysia.
