Subang Jaya – AvantHealth, dengan kerjasama rapat Monash University Malaysia, telah berjaya menganjurkan Grand Finale MINDSPARK bertemakan “Igniting a Dementia-Inclusive Future” di Monash University, Subang Jaya.
Acara ini menghimpunkan pelajar, ahli akademik, pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan dalam usaha meningkatkan kesedaran dan keterangkuman terhadap penyakit demensia.
Acara ini merupakan kemuncak kepada kerjasama selama setahun yang bermula dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara AvantHealth dan Monash University Malaysia pada April 2025, diikuti pelancaran rasmi pertandingan MINDSPARK pada Jun tahun lepas yang turut dihadiri oleh Puan Nori Abdullah.
Melalui inisiatif ini, pasukan pelajar diberi peluang untuk merangka dan melaksanakan projek komuniti berkaitan demensia dengan dana permulaan sebanyak RM6,000 yang disediakan oleh AvantHealth.

Penganjur program, Dr. Dinesh Sangarran Ramachandram berkata Dari segi impak, para peserta telah menunjukkan peningkatan yang ketara dalam tahap pengetahuan mengenai demensia berdasarkan penilaian sebelum dan selepas program. Kejayaan ini turut dibuktikan melalui penglibatan semakin banyak universiti, NGO dan organisasi komuniti dalam usaha memperluaskan kesedaran mengenai demensia.
“Pihak penganjur berhasrat untuk memperluaskan program ini ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Matlamatnya adalah untuk membina sebuah ekosistem kesedaran demensia yang inklusif dan mampan, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat Malaysia.
“Melalui kerjasama erat antara institusi akademik, industri, NGO dan golongan belia, inisiatif ini membuktikan bahawa perubahan sosial yang bermakna dapat dicapai apabila semua pihak berganding bahu ke arah matlamat yang sama” katanya dalam sidang media disini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Saintifik, Avanthealth, Profersor Emeritus Yuen Kah Hay berkata, statistik penghidap demensia di Malaysia meningkat saban tahun dan merekodkan penghidap paling muda berusia 16 tahun.
“Program seperti ini sangat bagus bukan sahaja memberi kesedaran kepada masyarakat tetapi merupakan satu ilmu dimana perubahan gaya hidup amat perlu bagi mengelakkan penyakit ini disamping menguruskan atau menjaga pesakit demensia” ujarnya.

Kemuncak acara tersebut menyaksikan pembentangan oleh tiga pasukan finalis yang berkongsi impak dan hasil pelaksanaan projek mereka sepanjang enam bulan.
Projek-projek tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran mengenai demensia, pengukuhan keterangkuman sosial, sokongan kepada penjaga pesakit (caregiver) serta penglibatan komuniti.
Setiap pasukan mempamerkan kreativiti, keprihatinan dan komitmen tinggi dalam membina masyarakat yang lebih inklusif terhadap individu yang hidup dengan demensia melalui penyelesaian mampan yang diterajui golongan muda.
Selepas sesi penilaian akhir, pasukan terbaik telah dinobatkan sebagai Juara MINDSPARK dan menerima dana pembangunan bernilai RM10,000 bagi memperluaskan serta meneruskan inisiatif mereka dalam komuniti.
Juara pertandingan, kumpulan Synap5e of Memory yang diketuai oleh Lee Kah Yee melahirkan rasa teruja diatas kemenangan mereka.

“Idea Memory Café sebenarnya bukanlah idea asal pasukan kami. Kami pertama kali diperkenalkan kepada konsep tersebut semasa menghadiri program berkaitan demensia di Universiti Malaya. Ketika itu, kami berpeluang mendengar perkongsian daripada Dr. Cecilia Chan, seorang pendidik dan penggerak dalam bidang penjagaan demensia.
“Dr. Cecilia Chan telah memperkenalkan konsep Memory Café sebagai satu ruang yang membolehkan individu yang hidup dengan demensia, penjaga mereka dan masyarakat umum berinteraksi dalam suasana yang santai dan menyokong. Konsep ini memberi inspirasi kepada kami untuk meneroka kemungkinan melaksanakan pendekatan yang sama dalam komuniti tempatan” katanya.
Tambahnya lagi, salah satu idea yang diketengahkan adalah mengubah sebuah kafe biasa menjadi Memory Café, di mana pelanggan bukan sahaja menikmati makanan dan minuman, tetapi juga berpeluang berinteraksi dengan individu yang hidup dengan demensia. Melalui pengalaman ini, masyarakat dapat memahami keadaan tersebut dengan lebih dekat dan membina hubungan sosial yang positif.
Selain itu, penganjur program iaitu Dr. Fung Wai Yee, Dr. Wang Leong Seng dan Dr. Dinesh Sangarran Ramachandram, yang juga merupakan penerima Anugerah Merdeka, merakamkan penghargaan kepada semua juri, mentor, rakan kerjasama, pejuang kesihatan, institusi pendidikan dan penyokong yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini.
Mereka turut menegaskan bahawa inisiatif ini memperkukuhkan usaha berterusan yang selari dengan Pelan Tindakan Demensia Nasional Malaysia.
Melalui inisiatif seperti MINDSPARK yang berada di bawah gerakan lebih besar AvantMind Matters, AvantHealth terus komited dalam memperkasa kesedaran mengenai kesihatan otak, memperkasakan komuniti serta menggalakkan perbincangan yang lebih proaktif berkaitan pencegahan dan keterangkuman demensia dalam masyarakat.
Antara tetamu kehormat yang hadir antaranya, Penaung Alzheimers Disease Foundation Malaysia (ADFM), Puan Sri Wendy Ong, Tan Sri Hasmah Abdullah, Eric Kiu yang merupakan Ketua Pegawai Operasi AvantHealth, bersama wakil-wakil daripada organisasi rakan komuniti.
