Pencipta kandungan digital video kesan khas (VFX), Sofyank kongsi bakal berkolaborasi bersama Tom Cruise dalam video barunya
Perkara itu disahkan apabila Sofyank memuat naik gambar dia bersama Muhammad Shaffuan, seorang lagi pencipta kandungan digital, bertemu pelakon Hollywood terbabit.
Sofyank sebelum ini telah memberi gambaran bakal bertemu Tom Cruise untuk lakukan penggambaran bersama aktor berkenaan.
Kolaborasi ini telah diumumkannya menerusi beberapa hantaran di laman sosial miliknya berkenaan perjalanannya bersama Shaffuan ke Jepun.
Meminta doa orang ramai proses penggambaran dapat berjalan dengan lancar
Menerusi sebuah hantarannya sebelum ini, Sofyank meluahkan rasa gementarnya di samping meminta doa orang ramai supaya penggambaran tersebut dapat berjalan dengan baik.
“InsyaAllah esok kalau tiada halangan, saya akan shoot satu video vfx bersama dengan Tom Cruise. Buat masa sekarang, perasaan memang sangat “nervous” menunggu detik untuk shooting esok, walaupun dah buat persiapan awal-awal, tapi masih lagi risau untuk sesi esok.
“Dikesempatan ini, kalau tak keberatan saya nak minta dengan semua doakan proses shooting esok berjalan lancar. InsyaAllah saya akan keep update perjalanan kami di sini. Nantikan tau!,” tulisnya.

Mengulas mengenai pengalamannya bertemu Tom, Sofyank atau nama sebenarnya Mohamad Sofian Abdullah, 28, berkata, pada mulanya dia berasa gementar untuk melakukan penggambaran, namun, disebabkan sikap Tom yang peramah dan tidak sombong membuatkan mereka berasa selesa.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lokasi penggambaran pula, Sofyank berkata Tokyo, Jepun merupakan lokasi yang sangat cantik sehingga membuatkan mereka terpegun.
“Perasaan ketika berada di Jepun, mula-mula memang sangat gembira sebab kita dapat tengok budaya dan benda yang baharu.
“Kami buka sahaja kamera, memang cantik sangat suasana dekat sini,” ulasnya.
Dalam perkembangan lain, Sofyank juga memaklumkan mereka kini dalam proses menyiapkan suntingan dan tidak sabar untuk berkongsi hasilnya kepada rakyat Malaysia.
“Sekarang kami tengah fokus nak siapkan video supaya boleh ‘post’ cepat cepat untuk orang ramai-ramai tengok,” ujarnya.
Terdahulu, kerjasama Sofyank dan Tom itu dipercayai ada kena mengena dengan promosi filem terbaharu lakonannya iaitu Mission Impossible: The Final Reckoning yang akan ditayangkan di Malaysia bermula 17 Mei ini.
Selain Tom Cruise, Sofyank juga pernah berkerjasama dengan artis terkenal Hollywood lain seperti Paul Rudd, Will Smith dan Jonathan Majors.
