KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan keputusan dua menteri daripada PKR iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang meletak jawatan selepas gagal mempertahankan kedudukan pada pemilihan parti itu sebagai tindakan yang berprinsip.
Timbalan Perdana Menteri berkata, menegaskan biarpun tidak mencampuri urusan dalaman parti lain, namun sebagai rakan dalam Kabinet beliau menghormati keputusan kedua-dua menteri berkenaan.
“Mereka (Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad) berprinsip. Itulah janji mereka dan kita menghormati pendirian berkenaan biarpun tidak campur urusan dalaman parti lain.
“Namun, bagi pihak rakan dalam Kabinet, saya merasakan selama ini mereka menyumbang dengan cukup berkesan.
“Mereka secara kolektif mendukung semua keputusan ditetapkan Kabinet dan ketiadaan mereka mungkin akan digantikan dengan calon daripada PKR, atas kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.
Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan meletak jawatan selepas gagal mempertahankan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu, minggu lalu.
Selang beberapa jam, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa juga mengikut jejak langkah Rafizi, kira-kira jam 4 petang tadi.
Nik Nazmi dilaporkan muncul sebagai satu-satunya penyandang jawatan Naib Presiden PKR yang gagal mengekalkan pengaruhnya dalam saingan 11 penjuru.
Tiga lagi penyandang Naib Presiden PKR, masing-masing Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berjaya dilantik semula ke jawatan itu.
Pada April lalu, Nik Nazmi turut tewas kepada pelakon, pengarah dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki, dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.
Ahmad Zahid ketika ditanya kemungkinan dua jawatan menteri itu diisi calon daripada Barisan Nasional (BN), bagaimanapun menegaskan sebarang keputusan mengenai perkara itu adalah prerogatif Perdana Menteri.
“Kuasa mutlak (melantik Jemaah Menteri) adalah atas budi bicara Perdana Menteri sepenuhnya.
“Pemimpin datang dan pergi, begitu juga menteri. Insya-Allah, Anwar akan memilih calon terbaik dalam kalangan pemimpin PKR untuk berada dalam Jemaah Menteri (bagi menggantikan Rafizi dan Nik Nazmi),” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO enggan mengulas dakwaan beberapa Ahli Parlimen daripada PKR, termasuk Rafizi dan Nik Nazmi menarik sokongan terhadap Anwar.
“Saya fikir elok kita tak mendengar khabar angin,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
