BANGI – “Menobatkan Pejuang Al-Quran, Menyaksikan Air Mata Syukur”,
Seramai 150 pelajar Huffaz diraikan dalam satu majlis penuh barakah sempena Majlis Haflah Takrimiah AKMAL Kali ke-6, anjuran Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) yang berlangsung hari ini di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Selangor.
Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan tokoh ulama negara. Turut hadir ialah para ibu bapa, guru-guru, alumni serta rakan strategik pendidikan Al-Quran dari seluruh negara.

Majlis ini menjadi simbol kejayaan dan kesungguhan pelajar-pelajar AKMAL dalam menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh kurang dari setahun, dengan pencapaian luar biasa yang mencetus rasa bangga dan sebak.
Pelajar Autisme Hafaz 30 Juzuk dalam 4 Bulan
Antara pencapaian paling menyentuh hati ialah kejayaan adik Ziyad, seorang anak istimewa berusia 10 tahun yang menghidap mild autisme. Dengan daya ingatan luar biasa, Ziyad menghafal 42 surah sebelum menyertai AKMAL, dan kemudiannya berjaya menghafaz keseluruhan Al-Quran dalam hanya 4 bulan 6 hari, sekali gus menerima Syahadah Hafazan penuh.
Turut diraikan ialah Muhamad Aiman, 16 tahun, yang berjaya memperoleh Syahadah Hafazan dalam tempoh kurang setahun, bersama-sama rakan seperjuangan lain yang menunjukkan keupayaan luar biasa termasuk beberapa yang berjaya menghafal dalam tempoh hanya 2 bulan.


Menambahkan kemeriahan, anak kepada anggota kumpulan nasyid terkenal, Syah Inteam juga antara pelajar yang berjaya menamatkan hafazan dan diraikan dalam majlis tersebut.

Hafiz Setahun – Program Sistematik, Berkesan dan Diiktiraf
Kejayaan pelajar-pelajar ini membuktikan keberkesanan program unggulan “Hafiz Setahun” oleh AKMAL – satu program tahfiz intensif yang terbukti sistematik dan berkesan. Program ini digerakkan melalui modul 6 Rukun Hafiz, pemantauan hafalan harian, bimbingan motivasi berterusan serta pembentukan sahsiah dan akhlak seiring dengan penguasaan ilmu Al-Quran.
Dalam usaha melahirkan generasi Huffaz berpendidikan tinggi, AKMAL kini mengorak langkah menubuhkan Pusat Pengajian Tinggi AKMAL, membuka laluan akademik lanjutan untuk pelajar. Sebuah memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai bersama Markfield Institute of Higher Education (MIHE), United Kingdom, bagi menawarkan peluang pengajian bertaraf antarabangsa kepada para graduan.

Majlis Haflah Takrimiah ini bukan sekadar meraikan pencapaian akademik, tetapi turut menjadi manifestasi bahawa dengan sistem pendidikan yang tepat, sokongan ibu bapa dan semangat juang pelajar, generasi muda hari ini mampu menjadi pewaris kalamullah walaupun di usia yang sangat muda.
AKMAL mengajak lebih ramai pihak berkolaborasi bersama agar misi AKMAL melahirkan 10 ribu huffaz setiap tahun menjelang 2030 tercapai.
