Kuala Lumpur – Anak kepada penyanyi kumpulan Inteam, Syah iaitu Muhamad Mustafa, 15, telah diraikan dalam sebuah majlis selepas berjaya khatam Al-Quran.
Ditemui selepas Majlis Haflah Takrimiah AKMAL Kali ke-6 , Syah memanjatkan rasa syukur dan sebaknya apabila anak bongsunya itu berjaya menghafaz Al Quran dalam tempoh kurang satu tahun.
“Saya mengambil keputusan menghantar anak saya ke Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) kerana melihat kejayaan para hafiz dan hafizah terdahulu yang berjaya menghafal kurang dari setahun.
“Kebetulan ipar saya juga salah seorang dari tenaga pengajar di AKMAL, jadi saya menghantar anak saya untuk belajar disini” katanya.
Jelasnya, para ibu bapa sebaiknya menggalakkan anak-anak untuk mencintai Al Quran kerana dengannya sahaja mampu membimbing diri kepada Allah SWT.
“Al Quran adalah surat cinta Allah SWT kepada kita manusia sebagai pembimbing dan pegangan dalam menempuhi kehidupan, ibarat bait-bait lagu Surat Cinta dari In Team cukup memaknai cinta yang kuat kita kepada Al Quran” ujarnya lagi.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik di media sosial AKMAL, ramai warga maya yang tersentuh dengan perkongsian itu mengucapkan tahniah buat Mustafa.
Tidak ketinggalan, ramai memuji Syah dan isteri yang untuk mendedahkan al-Quran seawal usia sehingga anak mereka muncul sebagai huffaz pada usia muda.
Pelbagai komen positif dikongsi para netizen antaranya;
“Alhamdulillah, hadiah terindah buat ibu dan ayah. Semoga adik terus berjaya di dunia dan akhirat.”
“Masya-ALLAH, semestinya didikan awal di rumah. Bukan mudah untuk mencungkil minat dan menghabiskan 30 juzuk kalau tiada sokongan padu daripada keluarga.”
“Alhamdulillah, moga kelak memberi manfaat untuk ummah. Tahniah anak soleh dan ibu ayah.”
“Perjalanan nak dapat 30 juzuk itu memerlukan pengorbanan dan tentunya bukan sedikit air mata yang tumpah. Bukan sahaja daripada anak tetapi ibu ayah. Masya-ALLAH, tahniah.”
Sekadar info, Syah berkahwin dengan Nuur Asy-Syahidah pada 2005. Hasil perkahwinan tersebut, Syah dan isterinya dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Muhammad Solahuddin, Muhammad Saifuddin dan Muhammad Mustafa.
