KUALA LUMPUR – Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa susulan kenyataan tiada sekatan pergerakan dikenakan terhadapnya berkait dakwaan bahawa beliau disenarai hitam daripada keluar negara.
Fahmi Reza atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, dalam kenyataan melalui Facebook, berkata beliau sudah membaca jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menuding jari kepada pihak polis dan kenyataan polis yang didakwa menuding jari kepada pihak imigresen.
Beliau berkata, ia kononnya ‘tiada sebarang sekatan rasmi daripada kerajaan’ dan berlaku ‘kekeliruan ketika proses semakan di pintu keluar negara.’
“Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambil tanggungjawab atas kesilapan ‘korang’ (anda) yang menyebabkan hak kebebasan bergerak aku disekat.
“‘Korang’ senang saja cakap ‘tiada sekatan rasmi’ tetapi realitinya, aku tetap kena sekat, semalam. Aku tetap tidak dapat ke luar negara. Aku tetap dinafikan hak aku sebagai rakyat,” katanya dalam kenyataan itu, di sini, hari ini.
Fahmi Reza mendakwa, beliau hanya rakyat biasa yang pihak berkenaan membuat sekatan (keluar dari negara), disusahkan serta merugikan masa serta wangnya tetapi kemudian ‘cuci tangan’ dan tidak mengaku kesalahan.
Katanya, jika rakyat yang membuat salah, pihak berkenaan tidak mengambil masa lama untuk diheret ke mahkamah.
Beliau mendakwa, kini giliran rakyat mengheret pihak berkuasa ke mahkamah pula.
Terdahulu, media melaporkan tiada sekatan pergerakan dikenakan ke atas Fahmi Reza sebagaimana digembar-gemburkan dalam media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dipetik berkata Fahmi Reza hanya disenarai dalam senarai pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hari ini, media turut melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, diarahkan menyemak isu larangan ke luar negara dikenakan ke atas aktivis dan pereka grafik terbabit.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, arahan berkenaan dikeluarkan Anwar.
Semalam, Fahmi Reza melalui perkongsian dalam FB, memaklumkan dilarang keluar negara untuk menghadiri konsert di Singapura menerusi penerbangan dijadualkan berlepas pada jam 9.35 pagi.
Fahmi Reza dilaporkan berkata, dirinya tidak dibenarkan keluar negara atas arahan Bukit Aman dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau turut memaklumkan bahawa larangan keluar negara itu dikenakan ke atasnya, seminggu selepas dilarang masuk ke Sabah susulan lukisan mengkritik Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
