Putrajaya – Rang Undang-Undang (RUU) Optometri dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini sebagai langkah penting dalam memperkasa profesion optometris dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan mata negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, RUU Optometri akan menjadi undang-undang tersendiri yang mengawal selia secara menyeluruh aspek amalan, latihan, pendaftaran dan skop tugas optometris, yang berbeza dengan peranan optisyen.
RUU tersebut turut dijangka merangkumi peraturan berkaitan penjualan produk optik secara dalam talian, penguatkuasaan dan penalti, sejajar dengan keperluan perlindungan pengguna dalam era digital.

Dr Dzulkefly turut menegaskan bahawa optometris memainkan peranan penting dalam sistem kesihatan primer, khususnya dalam pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, glaukoma, dan penyakit retina.
“Optometris bukan sahaja menangani isu penglihatan seperti masalah salah bias (refractive errors), tetapi juga merupakan barisan hadapan dalam mengenal pasti penyakit mata yang berkait rapat dengan NCD,” ujarnya.
Menurut beliau, Malaysia masih kekurangan optometris dengan nisbah 1:16,000 berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:10,000 penduduk. Ketika ini, hanya sekitar 200 optometris dapat dilatih setiap tahun di negara ini.
“Kekurangan ini memberi impak terhadap keupayaan sistem kesihatan untuk menyediakan rawatan mata yang berkualiti dan saksama kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Optometris Malaysia (POM), Ahmad Fadzullah Fuzai, dalam satu sidang media khas berkata, sudah tiba masanya profesion optometri diangkat ke tahap lebih tinggi, selepas sekian lama disalah anggap hanya sebagai sebahagian daripada sektor peruncitan, khususnya disebabkan kaitan dengan penjualan cermin mata.

“Ramai masih melihat optometris sebagai tukang periksa mata dan jual cermin sahaja. Hakikatnya, kami merupakan tenaga profesional kesihatan yang memainkan peranan penting dalam pengesanan awal penyakit mata seperti katarak, glaukoma, dan retinopati diabetes,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah penasihat persatuan, Datuk Dr. Murphy Chan dan Woon Pak Seong.
Ahmad Fadzullah turut menjelaskan bahawa inisiatif ini mula digerakkan sejak Ramadan 2024, hasil pertemuan antara POM dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang menyatakan komitmen untuk memperkukuh profesion optometri di Malaysia.
Susulan itu, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan yang melibatkan pelbagai agensi, pakar dan pihak berkepentingan. Dalam tempoh kurang setahun, garis panduan klinikal berjaya disiapkan, termasuk pembangunan modul latihan Enhanced Eye Care secara teliti.

“Dengan pendekatan yang lebih tersusun dan klinikal, masyarakat akan lebih yakin terhadap peranan optometris sebagai penyedia rawatan kesihatan mata dan bukan sekadar penjaja produk optik.
“Satu logo khas akan diperkenalkan bagi membezakan premis optometris bertauliah dan membantu orang awam mengenal pasti tempat saringan kesihatan mata yang selamat dan berdaftar” ujarnya lagi.
Tambahnya, sistem teratur ini membuka ruang kerjasama dengan syarikat insurans untuk menampung pemeriksaan dan rawatan awal, seiring dengan pendekatan kesihatan pencegahan yang lebih menyeluruh.
Menurut data POM, terdapat lebih 3,400 optometris berdaftar di Malaysia, 300 daripadanya berkhidmat dalam sektor awam (KKM), manakala lebih 1,500 di sektor swasta dan selebihnya menceburi sektor lain dalam bidang akademik, industri serta perkilangan.


Sebagai langkah lanjut, POM akan melancarkan satu direktori optometris bertauliah dalam talian, yang membolehkan orang ramai menyemak lokasi dan kelayakan premis berhampiran mereka.
Inisiatif Enhanced Eye Care menjadi bukti bahawa penjagaan mata memerlukan pendekatan holistik melibatkan kerajaan, profesional kesihatan, pihak industri dan masyarakat. Ia juga menjadi simbol komitmen negara ke arah sistem kesihatan yang lebih pencegahan, progresif dan berpaksikan rakyat.
