PIC MOU

KUALA LUMPUR – Berjaya Land Berhad memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Impianan Utara Sdn Bhd bagi meneroka dan membangunkan dua inisiatif ekonomi utama di negeri Perlis — penerokaan serta perlombongan unsur nadir bumi dan mineral strategik lain, serta projek penanaman rumput hibrid Napier dan durian premium jenis Blackthorn.

Kedua-dua projek ini akan dijalankan secara kerjasama rapat dengan Menteri Besar Incorporated Perlis (MBI Perlis), iaitu entiti pelaburan negeri.

Pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun berkata, inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan aktiviti hiliran di negeri berkenaan.

“Kita boleh mulakan dengan mencipta sekitar 100 pekerjaan. Dari semasa ke semasa, dengan tambahan fasiliti seperti kilang kecil untuk pemprosesan dan pembangunan produk akhir, jumlah pekerja boleh meningkat kepada beberapa ratus orang,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU yang diadakan di Berjaya Times Square Hotel.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Perlis, YAB Mohd Shukri Ramli.

MoU itu ditandatangani oleh Tan Sri Vincent Tan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed; Pengarah Eksekutif Impianan Utara, Datuk Syed Tajul Arif Syed Baharoon Al Jumlud; dan Ketua Pegawai Operasi, Lukman Mahmood.

Melalui kerjasama ini, Berjaya Land dan Impianan Utara akan menjalankan aktiviti penerokaan serta pembangunan berkaitan unsur nadir bumi dan mineral strategik di Perlis. Impianan Utara telah memperoleh kelulusan di peringkat negeri menerusi kerjasama strategiknya bersama MBI Perlis.

Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai pemain global yang berdaya saing dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam industri nadir bumi. Negeri Perlis dijangka meraih manfaat besar dalam bentuk hasil perlombongan, peluang pekerjaan dan rangsangan kepada ekosistem ekonomi setempat.

Projek Agroekonomi Perkukuh Sekuriti Makanan Negeri

Sebagai inisiatif pelengkap, Berjaya Land turut bekerjasama dengan Impianan Utara dalam projek ladang melibatkan rumput hibrid Napier dan durian premium Blackthorn. Projek ini juga dijalankan bersama MBI Perlis, dan disasarkan untuk memperkukuh sektor agroekonomi negeri menerusi peningkatan sekuriti makanan, pemprosesan hiliran, serta peluang eksport.

Hasil daripada projek ini akan dikongsi bersama kerajaan negeri menerusi perjanjian bersama MBI Perlis dan turut merangkumi bayaran pajakan tahunan yang menyumbang kepada hasil negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali berkata kerjasama ini mencerminkan keyakinan berterusan mereka terhadap potensi pembangunan wilayah di Malaysia.

“Kami melihat nilai bukan sahaja pada projek ini, tetapi kepada kesan berganda seperti penciptaan pekerjaan, penarikan pelabur, pembangunan komuniti dan pertukaran ilmu. Kami mendekati kerjasama ini dengan rendah diri dan penuh tanggungjawab bagi menyumbang secara bermakna kepada ekonomi tempatan sambil menegakkan prinsip tadbir urus alam sekitar dan operasi,” katanya.

Pengarah Eksekutif Impianan Utara, Datuk Syed Tajul Arif pula menegaskan bahawa latar belakang syarikat yang berakar umbi di Perlis memberikan kelebihan dari segi pemahaman potensi tanah negeri itu.

“Kami percaya bahawa projek yang kami bangunkan bukan sahaja berdaya saing secara komersial, tetapi turut mesra alam dan memberi manfaat kepada rakyat. Kerjasama ini menjadi simbol sinergi sektor awam-swasta yang digerakkan oleh inovasi, panduan tempatan, dan berfokus kepada nilai jangka panjang buat negeri dan penduduknya,” katanya.

Melangkaui projek awal ini, Berjaya Land dan Impianan Utara turut akan meneroka potensi kerjasama tambahan termasuk pembangunan bandar sempadan dan inisiatif pelancongan berdasarkan kedudukan strategik Perlis, peningkatan infrastruktur, serta tarikan pelabur ke negeri utara tanah air.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading