abe9c47f-5dc2-4832-9d4e-1fa8972342da

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa puas hati dengan perkhidmatan Aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang beroperasi semula dengan lancar hari ini.

Beliau yang meninjau dan menaiki kemudahan itu menyifatkan tren baharu ini lebih baik berbanding sebelum ini.

“Baik, baik, lebih laju berbanding dulu,” katanya ringkas ketika ditanya media di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan pada jam 12.50 tengah hari bagi meninjau kemudahan yang dinaik taraf itu.

Perkhidmatan Aerotrain berkenaan mula beroperasi sepenuhnya jam 10.00 pagi ini dengan masa perjalanan 2.5 minit pada satu hala.

Perkhidmatan tren automatik tanpa pemandu yang dimodenkan itu melalui kerja naik taraf bernilai RM456 juta di bawah Pelan Pemulihan Lapangan Terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berjumlah RM742 juta bagi memperkukuh KLIA sebagai hab penerbangan utama di rantau ini pada masa hadapan.

Aerotrain yang menjadi ikon KLIA sejak 1998 kini dilengkapi set tren Alstom Innovia APM 300R yang serba canggih.

Setiap unit tiga gerabak mampu membawa sehingga 270 penumpang dan bergerak pada kelajuan maksimum 56 kilometer sejam, membolehkan perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit disingkatkan kepada kurang tiga minit.

Tren baharu ini turut dilengkapi sistem pemantauan keadaan yang canggih bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus memberikan keselesaan yang lebih baik kepada penumpang.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading