Islam di Guam adalah komuniti agama yang kecil tetapi berkembang di pulau tersebut. Guam, sebagai wilayah Amerika Syarikat di Lautan Pasifik, mempunyai penduduk yang majoritinya Kristian, namun terdapat juga golongan minoriti yang menganut agama Islam.
Jumlah umat Islam di Guam tidak besar, kerana komuniti Muslim di pulau ini terdiri terutamanya daripada pelajar, pekerja asing, dan penduduk yang berhijrah dari negara-negara Islam.
Walaupun kecil, komuniti Islam di Guam aktif dalam menjalankan aktiviti keagamaan dan sosial.
Malaysianews TV berpeluang menelusuri komuniti Islam di Guam dan singgah ke masjid kecil yang terletak di Mangilao, salah satu kampung utama di tengah-tengah Guam.
Masjid An-Noor, Mangilao, Guam

Ditubuhkan oleh Muslim Association of Guam untuk menjadi badan rasmi komuniti Islam tempatan. Binaan masjid siap dan dirasmikan pada tahun 2000 dan menjadi satu-satunya masjid di Guam.
Masjid ini menjadi pusat agama yang mengumpulkan komuniti Islam untuk solat berjemaah disamping mengadakan kelas agama (malam Jumaat untuk kanak-kanak), dan perhimpunan keluarga setiap hujung minggu.
Kedatangan kami disini disambut mesra oleh Saudara Shah Rustom berasal dari Bangladesh dan telah tinggal di Guam lebih 15 tahun. Beliau yang kini mengusahakan kebun sayur dan menjadi pengedar bagi komuniti Islam disini.
Jelasnya, terdapat lebih kurang 17 keluarga muslim disini dengan jumlah sekitar 50 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan negara antaranya Afghanistan, Pakistan, India, Malaysia, Sri Lanka dan lain‑lain.

“Jumlah muslim disini tidak ramai dan kami bersyukur masjid ini dapat dibina dan mampu mengumpulkan orang-orang islam untuk solat dan mengikuti kelas agama.
“Di masjid ini juga kami merapatkan silaturahim dengan saudara baru” katanya.
Tambahnya, imam masjid yang juga seorang arkitek, Muhammad Asmuni (Muni) Abdullah juga Prof. Farouq Abawi dari Universiti Guam kini mengetuai para jemaah disamping memberikan kelas bimbingan fardu ain disini.
Beliau turut berkongsi mengenai bekalan bahan makanan halal semakin mudah diperolehi. Disebabkan Guam ialah wilayah Amerika Syarikat dan menjadi destinasi pelancongan antarabangsa, permintaan terhadap produk halal khususnya dari pelajar, pekerja asing dan pelancong Muslim telah meningkat dari semasa ke semasa.
Walaupun bekalan makanan halal di Guam tidak sekomprehensif seperti di Malaysia atau negara Islam, namun produk asas halal boleh didapati, terutamanya di pasar raya besar dan dengan bantuan komuniti masjid.
“Untuk bekalan daging lembu, kambing dan ayam halal tidak susah disini, kebanyakkan pengedar dari Australia dan New Zealand banyak membekalkan daging halal pukal ke seluruh pasaraya disini.
“Ditambah penerimaan penduduk tempatan terhadap komuniti Muslim disini juga amatlah baik dan tiada perbezaan atau diskriminasi agama berlaku” ujarnya.
Beliau turut berharap lebih ramai lagi pelancong Muslim datang ke Guam dan singgah mengimarahkan Masjid An-Noor pada masa akan datang.
Sementara itu, saudara baru yang dikenali sebagai Nina, berkongsi pengalaman mengucap Syahadah di Masjid An-Noor ini pada bulan September 2024 yang lepas.

“Saya adalah anak jati Guam, ibu saya berasal dari Jepun dan bapa saya dari Guam. Saya lahir dan dibesarkan di sini.
“Saya mengenali Islam apabila membuat kajian dan pembacaan di media sosial serta bertanya rakan yang telah memluk agama Islam terlebih dahulu, seterusnya saya temui komuniti Islam disini dan mengambil keputusan mengucap Syahadah.
“Islam sebuah agama yang mendamaikan dan menenangkan jiwa, saya sukakan kasih sayang dan silaturahim antara sesama muslim” terangnya kepada kami.
Komuniti Islam di Guam diterima dengan baik oleh masyarakat tempatan, hidup dalam suasana aman, bebas dan harmoni. Walaupun jumlahnya kecil, mereka memainkan peranan penting dalam mempromosikan perpaduan antara agama, serta memperkenalkan Islam secara positif kepada masyarakat sekitar.
