maxresdefault

Jika sebut tentang membeli belah, kami bersetuju Guam sememangnya syurga bagi ‘kaki shopping’.

Manakan tidak, di Guam terdapat banyak pusat membeli-belah dimana kita boleh berbelanja pada harga murah untuk membeli barangan berjenama. Jika anda suka berbelanja atau meminati barangan berjenama dengan harga rendah, disinilah lokasi tepat yang boleh dituju.

Setelah puas menikmati keindahan alam semulajadi dan penat melakukan aktiviti pulau, apa kata singgah mencuci mata sambil berbelanja di beberapa tempat disini.

Antara pusat beli belah yang wajib anda singgah adalah:

1) Guam Premier Outlets (GPO)

GPO merupakan syurga untuk pemburu diskaun, kerana banyak jenama popular dengan harga runtuh dan promosi menarik. Ia menawarkan pelbagai jenama antarabangsa pada harga yang lebih rendah daripada harga rendah.

Antara kedai barangan berjenama yang ada disini antaranya; Tommy Hilfiger, Guess, Calvin Klein, Coach, Aeropostale, Burlington dan banyak lagi.

Untuk kesini, anda disarankan bawa beg tambahan untuk mengisi barangan yang dibeli.

Lokasi ini merupakan lokasi wajib singgah jika anda ke Guam. Sudah tentu anda akan rambang mata!

2) Ross Dress for Less

Merupakan salah satu kedai beli-belah paling terkenal dan digemari oleh pelancong. Ia sebahagian daripada rangkaian kedai diskaun (“off-price” retail) terkenal dari Amerika Syarikat yang menjual pelbagai jenis barangan berjenama pada harga jauh lebih murah.

Diskaun sehingga 20%–60% lebih murah daripada harga asal di pusat beli-belah biasa.

Kedai ini terapat di pusat beli belah Guam Premier Outlets (GPO) dan Micronesia Mall. Menariknya, kedai ini dibuka seawal jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari.

Pelbagai barangan seperti pakaian, kasut, beg, aksesori, jam tangan, cermin mata, barangan rumah, kosmetik dan pelbagai lagi. Pastikan anda membawa beg atau bagasi kosong kerana disini tidak disediakan plastik mahupun beg kertas.

Antara jenama terkenal yang boleh dibeli disini antaranya, Calvin Klein, Marc Jacobs, Ed Hardy, Gucci, Guess, Juicy Couture, Tommy Hilfiger, Ray Ban, Timberland, Michael Kors, DKNY, Samsonite, Nautica, Steve Madden, Kate Spade, Nine West, Ralph Lauren Home, Carter’s dan banyak lagi.

Jenama dan stok di Ross sentiasa berubah-ubah kerana ia bergantung kepada stok lebihan dari jenama asal. Jadi, setiap kunjungan mungkin berbeza – dan jika anda jumpa sesuatu yang menarik, beli terus kerana ia mungkin tiada lagi esok!

3) Micronesia Mall

Ia adalah pusat beli-belah terbesar di Guam, dan merupakan destinasi utama untuk membeli-belah, menjamu selera, dan hiburan untuk pelancong dan penduduk tempatan.

Terletak di kawasan Dededo, kira-kira 15–20 minit dari kawasan hotel di Tumon. Menempatkan lebih daripada 100 buah kedai, butik, restoran dan pusat hiburan.

Dikenali kerana menjadi satu-satunya pusat membeli-belah di luar tanah besar Amerika Syarikat yang mempunyai Macy’s, sebuah gedung jualan besar dari Amerika. Menariknya, Macy’s selalunya ada “One Day Sale” dan kupon 10–20%, jadi perhatikan promosi semasa

Selain Macy’s, terdapat kedai-kedai lain yang menjadi tarikan antaranya ABC Store, Foot Locker, ROSS, Levi’s Outlet, Lacoste, Bench dan lain-lain.

4) K-Mart – Tamuning

K-Mart Guam merupakan salah satu tempat beli-belah paling terkenal dan wajib dikunjungi oleh pelancong yang datang ke Guam, terutamanya dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina, dan Jepun. Ia terkenal sebagai pusat beli-belah bajet yang besar dan serba lengkap, sesuai untuk membeli keperluan harian, cenderahati dan barangan rumah. semuanya di bawah satu bumbung!

Ia patut masuk dalam senarai lokasi wajib singgah kerana menawarkan pelbagai barangan murah dengan harga terendah. Disini juga anda boleh membeli secara borong dari makanan, pakaian sehinggalah cenderahati.

Jika anda ingin membeli cenderahati dengan bajet terhad, disinilah jawapanya!

5) Agana Shopping Center

Pusat beli-belah bersaiz sederhana yang terletak di Hagåtña (Agana), ibu negeri Guam. Walaupun tidak sebesar Micronesia Mall atau Guam Premier Outlets (GPO), ia menawarkan suasana yang lebih santai dan tempatan, sesuai untuk pengunjung yang ingin berbelanja tanpa kesesakan.

Jika anda ingin gabungkan lawatan ke tempat bersejarah seperti Latte Stone Park dan Plaza de España dengan sedikit masa beli-belah dan makan, Agana Shopping Center ialah tempat yang ideal untuk disinggahi.

Memberikan pengalaman beli-belah yang sederhana, selesa dan autentik. Ia sangat sesuai untuk pelancong yang ingin lari daripada kesibukan kawasan pelancongan utama, sambil menikmati suasana tempatan yang lebih tenang dan asli.

6) Don Don Donki Guam

Don Don Donki Village of Donki adalah cawangan pertama rangkaian Don Quijote (Donki) di Amerika Syarikat yang dibuka di Tamuning, Guam dengan keluasan terbesar 247,000 kaki persegi.

Tarikan utama termasuk produk Jepun, daging dan hasil segar, barang serbaneka, barangan pop-culture, serta sudut Daiso dan Matsukiyo. Ruang dalam premis agak padat, mengundang pengalaman “sensory overload”, tetapi menyeronokkan bagi yang suka ramai orang.

Disebabkan ramai pelancong dari Jepun memilih Guam sebagai destinasi percutian dan sekali gus menyumbang pembukaan kedai ini bagi mewujudkan ‘Japan vibes’ disini.

7) T Galleria by DFS

T Galleria by DFS Guam ialah destinasi utama shopping bebas cukai di Tumon, Guam, terkenal dengan rangkaian jenama mewah dan perkhidmatan premium.

Disebut sebagai ‘next phase of luxury travel retail’, ia menawarkan pelbagai jenama mewah antarabangsa antaranya; Louis Vuitton, Chanel, Dior, Gucci, Prada, Fendi, Saint Laurent, Tumi, Tory Burch, Cartier, Tiffany & Co., Omega, TAG Heuer, Longines, Rado, stée Lauder, MAC, Lancôme, SK‑II, Clinique, La Mer, Jo Malone, Aveda dan macam-macam lagi.

Disarankan para pelancong membawa pasport untuk harga bebas cukai.

Turut disediakan Lounge eksklusif untuk ahli “Loyal T” dan ruang rehat.

Jika anda inginkan perbelanjaan mewah tanpa cukai, disarankan singgah disini.

Guam, Syurga ‘Kaki Shopping’

Kesimpulannya, jika anda suka membeli-belah, Guam adalah syurga sebenar. Sama ada anda cari jenama mewah, pakaian kasual murah, kosmetik, atau barangan unik dari Jepun, semuanya boleh didapati dengan harga yang lebih rendah, dalam persekitaran yang mesra pelancong.

Gabungan harga bebas cukai, jenama antarabangsa, dan pelbagai pilihan pusat beli-belah menjadikan Guam destinasi ideal untuk membeli-belah berkualiti dengan harga berpatutan.


Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading