KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Siti Jamumall terharu usahawan, Datuk Seri Vida sanggup menaja bil perubatan dan kos bersalin, anak ketiganya.
Siti atau Suriani Wahidin, 27, berkata kos perubatan dan bersalin dianggar kira-kira RM10,000.
“Tidak sangka dalam ramai orang, saya yang dipilih untuk ditaja dengan kos keseluruhan mencecah RM10,000.
“Alhamdulillah, Allah hadirkan saya mama (ibu kandung) dan Mama Vida ketika ujian datang bertubi-tubi. Mama Vida hadir bagaikan pelindung. Pengorbanan Mama Vida bayarkan bil hospital ini, saya takkan lupa sampai akhir nyawa.
“Saya fikir Datuk Seri Vida pilih hospital di Ipoh, Perak sebab dekat dengan kediamannya dan mudah jika dia hendak pantau saya ketika berpantang,” dipetik dari BH Online.
Sebelum ini, Siti berkongsi rakaman video di TikTok yang memaparkan dia, ibu dan Vida berkunjung ke sebuah hospital swasta.
Mereka dipercayai meninjau lokasi yang akan menjadi tempat bersalin anak ketiga Siti yang dijangka dilahirkan pada awal September depan di Ipoh.
Siti juga terharu apabila Vida mengambilnya menjadi anak angkat dan menjaga kebajikan dirinya dan anak yang bakal dilahirkan.
Siti tidak dapat menahan sebak atas sikap serta keprihatinan Vida. Namun, Siti tidak mahu mengeluh dengan ujian yang diterimanya dan menyifatkan pengalaman dalam rumah tangga banyak mengajarnya erti kehidupan.
“Saya pun tidak tahu kenapa Mama Vida
sanggup taja (kos perubatan dan bersalin). Mungkin dia dapat merasakan kesakitan yang saya lalui ini.
“Saya anggap ini adalah pelangi selepas hujan. Ujian dalam hidup saya besar selepas diceraikan dan dimalukan kawan sendiri,” katanya.
Siti menjadi bualan netizen apabila tular video rakaman sesi siaran langsung dia diceraikan suami yang juga pempengaruh, Aiman Tak Kesah di aplikasi TikTok, Mei lalu.
Siti sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohammad Syafiq pada 2019, namun, bercerai selepas tiga tahun. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran, 4.
Siti kemudian bernikah dengan Aiman dalam majlis tertutup di Satun, Thailand pada Jun 2023.
