Attana Hotels & Resort Group

Kuala Lumpur – Attana Hotels & Resorts Sdn Bhd (AHR) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu peneraju hospitaliti negara apabila meraih enam anugerah berprestij di Anugerah Industri Pelancongan 2025 yang berlangsung megah di Sunway Resort Hotel baru-baru ini.

Kemenangan ini menandakan kejayaan dua tahun berturut-turut buat AHR, selepas turut meraih enam anugerah utama pada edisi 2024. Pencapaian konsisten ini membuktikan keupayaan AHR dalam menyesuaikan diri dengan kehendak industri yang sentiasa berubah, serta komitmen kukuh kumpulan ini untuk menawarkan pengalaman hospitaliti Malaysia yang direka dengan penuh teliti dan autentik.

“Kami amat berbesar hati dan berasa terhormat kerana sekali lagi menerima pengiktirafan daripada pakar industri serta para tetamu yang telah merasai pengalaman di hartanah kami.


“Anugerah ini mencerminkan dedikasi kami bukan sahaja sebagai kumpulan hotel kontemporari, pengendali resort dan kelab golf terkemuka, malah sebagai jenama hospitaliti yang komited untuk meningkatkan pengalaman tetamu dari tahun ke tahun.” kata Ron Hasni Yusoff, Ketua Pegawai Operasi AHR.

Senarai Penuh Anugerah yang Diterima oleh AHR pada Tahun 2025:

  • 🏆 Attana Hotels & ResortsBest Hotel Management Chain
  • 🏆 Perdana Kuala Lumpur City Centre (PKLCC)Best Business City Hotel
  • 🏆 Perdana Kota Bharu (PKB)Best East Coast Business Hotel
  • 🏆 Espira Kinrara (EK)Best Urban Resort
  • 🏆 Villea Port Dickson (VPD)Best Nature Family Resort
  • 🏆 Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC)Best Tournament Golf Course

Menurut Ron Hasni, pengiktirafan ini adalah bukti kesungguhan kumpulan dalam menyediakan perkhidmatan bertaraf tinggi dan konsisten dalam memberi pengalaman terbaik kepada para tetamu di hotel, resort dan kelab golf di bawah pengurusannya.

“Pengalaman hospitaliti Malaysia yang kami reka dari penginapan hingga sajian adalah keunikan yang membezakan kami. Identiti jenama AHR, yang diilhamkan daripada cahaya penunjuk arah, mencerminkan perpaduan dan semangat hospitaliti Malaysia yang sebenar.


“Kami kekal komited untuk menyediakan pengalaman autentik yang akan dikenang oleh tetamu kami.” jelas beliau

Kumpulan ini kini mengurus portfolio hartanah bernilai lebih RM800 juta, merangkumi hotel, resort dan kelab golf di seluruh negara. AHR juga menegaskan bahawa kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh kualiti perkhidmatan serta memperluas agenda kelestarian menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya, Sayang Earth.

Komitmen Terhadap Kelestarian: Inisiatif “Sayang Earth”

Melalui Sayang Earth, AHR memacu pelbagai inisiatif berteraskan alam sekitar dan pembangunan komuniti. Program ini disusun berdasarkan empat teras utama antaranya; – Gaya Hidup Sihat; Guna Semula, Kitar Semula & Kurangkan (3R); Selamatkan Planet; dan Pembangunan Komuniti.

AHR menyasarkan untuk membentuk budaya kerja dan pengalaman tetamu yang selari dengan prinsip kelestarian dan tanggungjawab sosial.

Anugerah ini dianjurkan secara bersama oleh Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA), Tourism Selangor, dan Santai Travel Magazine, dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia, dan inisiatif Visit Malaysia 2026.

Menutup kenyataan, AHR merakamkan penghargaan tulus kepada semua tetamu, rakan kongsi, dan pihak berkepentingan atas sokongan berterusan, serta menzahirkan iltizam untuk meneruskan tradisi kecemerlangan dalam dunia hospitaliti Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading