Kuala Lumpur – foodpanda Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan pandasafe, satu inisiatif keselamatan jangka panjang yang komprehensif ke seluruh negara direka khas untuk melindungi dan memperkasakan rakan penghantar menerusi ekosistem keselamatan yang kukuh. Program perintis ini merupakan hasil kerjasama strategik antara foodpanda dengan rakan kongsi utama dari sektor awam dan swasta, termasuk Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia), Hong Leong Bank, PERKESO dan Hong Leong Yamaha Motor.
Majlis pelancaran berkenaan yang berlangsung di ibu pejabat foodpanda telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Anthony Loke. Dalam ucaptama beliau, YB Anthony Loke menyambut baik program tersebut sebagai langkah proaktif dalam menyokong tenaga kerja ekonomi gig yang semakin berkembang di Malaysia.

“Keselamatan rakan penghantar kita harus dianggap sebagai satu keutamaan nasional,” kata YB Anthony Loke. “Saya ingin memuji foodpanda dan rakan-rakan kongsinya kerana tampil dengan satu program jangka panjang dan berstruktur, yang melangkaui soal kesedaran. pandasafe menetapkan penanda aras baharu tentang bagaimana syarikat boleh memikul tanggungjawab dalam menjadikan jalan raya kita lebih selamat buat pekerja gig.”
Pandasafe bukan sekadar satu kempen; ia merupakan ekosistem keselamatan yang berasaskan data dan merangkumi pelbagai titik sentuhan menyatukan pendidikan, teknologi, sains tingkah laku dan literasi kewangan, untuk membina budaya keselamatan jalan raya jangka panjang buat rakan penghantar.
Menurut Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk, pandasafe bukanlah inisiatif sekali jalan, tetapi satu komitmen jangka panjang terhadap kebajikan rider.
“Rakan penghantar kami adalah nadi bagi foodpanda,” kata Tan Ming Luk. “Setiap pesanan yang dihantar dengan selamat, dan setiap rider yang pulang ke rumah dengan selamat adalah satu kejayaan. Dengan pandasafe, kami menerapkan keselamatan ke dalam setiap aspek operasi kami, setiap hari. Ia bukanlah kempen bermusim; tetapi satu perubahan kekal dalam cara kami beroperasi. Inilah komitmen kami terhadap rider kami, keluarga mereka, dan komuniti di mana kami berkhidmat.”
Menerusi inisiatif pandasafe, foodpanda akan melaksanakan pelbagai langkah keselamatan bersepadu, termasuk:
- Program latihan rider yang berstruktur, dengan penekanan kepada teknik tunggangan yang selamat
- Alat telematik bagi membantu rider memantau dan menambah baik tabiat tunggangan mereka
- Modul keselamatan jalan raya dan latihan pertolongan cemas, di mana Allianz Malaysia menyediakan latihan Tindak Balas Awal dan CPR, bagi melengkapkan rider dengan pengetahuan untuk bertindak pantas semasa kecemasan
- Pendidikan perlindungan sosial dan latihan Induksi Keselamatan P-Hailing yang dijalankan bersama PERKESO, bagi memastikan rider dilindungi dan cakna akan kerangka jaringan keselamatan Malaysia
- Latihan teknik tunggangan defensif dan kemahiran membrek yang disokong oleh Hong Leong Yamaha Motor, bagi meningkatkan kawalan rider dan kesedaran di jalan raya
- Program literasi dan keselamatan kewangan yang diterajui oleh Hong Leong Bank, bagi membantu rider mengurus pendapatan, merancang masa depan, dan meningkatkan kesejahteraan kewangan

Semua komponen ini direka untuk saling melengkapi, sekali gus mewujudkan satu kerangka holistik yang bukan sahaja mengurangkan risiko, tetapi juga memupuk kesejahteraan jangka panjang bagi rider di seluruh negara.
“Keselamatan bukan sekadar dasar — ia adalah satu budaya,” tambah Tan. “Bagi memupuk budaya ini, ia memerlukan kerjasama tepat serta kesediaan untuk melakukan sesuatu secara berbeza, bagi memastikan rider kami pulang ke rumah dengan selamat. Inilah sebabnya kerjasama strategik ini amat penting.”
Dengan pelancaran pandasafe, foodpanda Malaysia menetapkan standard baharu yang berani dan melangkaui kempen kesedaran, ke arah mewujudkan budaya perlindungan, pemerkasaan dan akauntabiliti yang berkekalan dalam ekonomi gig.
