zz

LOS ANGELES – Ronnie Rondell Jr., pelakon lagak ngeri Hollywood yang terkenal kerana dibakar hidup-hidup untuk kulit album ikonik Wish You Were Here oleh kumpulan Pink Floyd, telah meninggal dunia pada usia 88 tahun di sebuah pusat jagaan di Missouri, Amerika Syarikat (AS).

Rondell, yang kerjayanya menjangkau lebih lima dekad, pernah terlibat dalam pelbagai produksi filem dan siri TV terkenal termasuk Lethal Weapon, Thelma & Louise, Star Trek: First Contact, dan The Matrix Reloaded.

Beliau juga pernah menjadi penyelaras aksi untuk filem seperti Batman & Robin dan The Mighty Ducks.

Namun, aksi paling dikenang ramai ialah ketika beliau dan seorang lagi ‘stuntman’, Danny Rogers, berjabat tangan sambil terbakar dalam sesi fotografi untuk kulit album Pink Floyd pada tahun 1975.

Ketika penggambaran, angin tiba-tiba berubah arah dan api menyambar wajah Rondell, menyebabkan beliau kehilangan sebahagian kening dan misai.

Dilahirkan di California pada tahun 1937, Rondell memulakan kerjaya lakonan sejak remaja dan menjadi pelakon lagak ngeri dalam siri Soldiers of Fortune pada era 1950-an.

Beliau kemudian menubuhkan syarikat sendiri, Stunts Unlimited, pada tahun 1970 dan menerima anugerah pencapaian seumur hidup di Taurus World Stunt Awards pada 2004.

Rondell meninggalkan seorang isteri, Mary, dan seorang anak lelaki, Ronald, yang turut bergiat dalam industri perfileman. Seorang lagi anaknya, Reid, meninggal dunia dalam kemalangan helikopter ketika melakukan aksi untuk siri TV Airwolf pada tahun 1985.

Walaupun namanya mungkin kurang dikenali, aksi berani Rondell telah menjadi sebahagian daripada sejarah seni visual dan muzik dunia.

Beliau bukan sekadar lagenda – beliau adalah simbol keberanian dan dedikasi dalam dunia aksi ngeri Hollywood.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading