Dalam tempoh tiga minggu kebelakangan ini, Malaysia digemparkan dengan beberapa insiden melibatkan warga China yang menimbulkan perdebatan awam mengenai keselamatan, dasar imigresen, dan kesan sosial daripada kehadiran warga asing di negara ini. Sekurang-kurangnya dua insiden besar disahkan secara rasmi, manakala beberapa kejadian lain dipercayai masih dalam siasatan atau belum didedahkan kepada umum.
Fenomena ini mencerminkan cabaran yang semakin ketara dalam mengimbangi dasar keterbukaan pelancongan dan pelaburan dengan aspek keselamatan dan keharmonian sosial.
AKHIR JULAI – Sebuah universiti swasta di Subang Jaya digemparkan apabila seorang pelajar lelaki warga China menikam bekas teman wanitanya yang juga pelajar di situ.
Minggu lepas, 6 OGOS 2025 – Dua lelaki warga China ditahan berhampiran Wisma Pertahanan kerana menerbangkan drone di kawasan larangan strategik. Peralatan teknikal dan rakaman yang dirampas membuatkan kes ini terus dibawa ke mahkamah bawah Akta Rahsia Rasmi.
Semalam 13 OGOS 2025 – Di Bandar Kajang, seorang wanita dipercayai warga China memandu kereta, melanggar tiga motosikal, kemudian keluar sambil memegang pisau dan menikam enam orang awam. Saksi mendengar dia menjerit “I hate Malaysia” dalam bahasa ibundanya.
Pada hari yang sama, sukarelawan anti-Parti Komunis China di pasar malam Taman Connaught mendakwa mereka diugut lelaki berpakaian hitam ketika mengedarkan risalah.
Hari ini 14 OGOS 2025 – Di KLIA, seorang lagi wanita warga China memaki hamun pegawai imigresen, menarik tudungnya, dan menolak kepalanya ke tiang kaunter sehingga cedera. Suspek ditahan serta-merta.
Hanya dalam masa 3 minggu, kes-kes melibatkan warga China ini berlaku di kampus, pusat pertahanan, jalan bandar, pasar malam dan lapangan terbang. Ia berselerak dari segi lokasi, tetapi rapat dari segi jarak masa.

Kebimbangan Terhadap Imigresen dan Keselamatan
Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan dasar visa mesra pelancong termasuk pengecualian visa selama 30 hari kepada pelawat dari China, selain memperluas skim Malaysia My Second Home (MM2H) yang turut menarik minat ribuan warganegara China untuk menetap secara lebih kekal.
Walau bagaimanapun, peningkatan mendadak jumlah warga asing, ditambah pula dengan kes-kes jenayah terpilih, telah menimbulkan persoalan mengenai keupayaan penguatkuasaan, pemantauan visa, dan kesan jangka panjang terhadap keharmonian masyarakat setempat.
Pelbagai reaksi masyarakat dan pemerhati diketengahkan di laman-laman media terutama media sosial yang menyatakan kebimbangan ekoran tindakan melampau warga asing yang semakin menakutkan.
Netizen menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan aktiviti jenayah yang dikaitkan dengan warga asing. Malahan, pakar keselamatan menggesa agar kerajaan meningkatkan pemantauan terhadap kemasukan pelancong dan memastikan penggunaan visa pelancong tidak disalahgunakan untuk tinggal atau bekerja secara haram.
Kebanyakkan NGO dan pemimpin masyarakat pula mengingatkan semua pihak agar tidak membuat generalisasi terhadap mana-mana kaum atau negara, sebaliknya menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan yang adil dan profesional.
Faktor Limpahan Kedatangan Warga China
Walaupun majoriti pekerja asing di Malaysia datang dari Indonesia, Bangladesh, dan Myanmar khususnya dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pekerjaan 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) namun kehadiran warga China juga semakin ketara di beberapa sektor tertentu.
Fenomena ini berlaku atas beberapa faktor utama antaranya; melalui program seperti MM2H, visa pelancong jangka panjang, atau visa pelajar. Mereka cenderung menetap dalam jangka masa panjang, terutamanya di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Penang.
Selain itu, warga China dilihat aktif dalam sektor pelaburan hartanah, termasuk pembelian apartmen mewah, hartanah komersial, dan kediaman dalam projek bandar pintar. Projek mega seperti Forest City di Johor menyasarkan pelabur dan pembeli rumah dari China, menjadikan kehadiran mereka lebih ketara di kawasan-kawasan tertentu.

Ramai warga China terlibat dalam perniagaan runcit, e-dagang, restoran, dan perdagangan borong, khususnya barangan dari tanah besar China. Kehadiran mereka memperluas jaringan dagangan dua hala, tetapi pada masa sama turut menimbulkan persaingan dengan peniaga tempatan.
Segelintir warga China bekerja atau terlibat secara tidak rasmi dalam industri hiburan, termasuk pusat urut, spa, dan perkhidmatan pelancong. Ada juga yang datang sebagai pelancong tetapi kemudian menyalahgunakan visa untuk bekerja atau berniaga secara tidak sah.
Pertambahan pelajar antarabangsa dari China di universiti swasta, terutamanya dalam bidang perniagaan dan kejuruteraan, turut menyumbang kepada peningkatan bilangan warga China yang tinggal sementara di Malaysia. Ada yang membawa keluarga dan tinggal dalam komuniti kecil tersendiri.
KDN Kekal Komited Utamakan Keselamatan Awam
Peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, adalah sangat penting dalam mengawal dan menangani isu berkaitan kemasukan, keberadaan, dan tingkah laku warga asing termasuk warga China di Malaysia. Tanggungjawab ini merangkumi aspek keselamatan, imigresen, penguatkuasaan undang-undang, serta hubungan diplomatik.
Keselamatan rakyat Malaysia dan kedaulatan negara adalah keutamaan yang tiada kompromi. Peristiwa melibatkan warga asing yang tular sejak kebelakangan ini telah menimbulkan perhatian ramai, namun perlu ditegaskan bahawa setiap insiden akan ditangani dengan sewajarnya melalui undang-undang yang sedia ada.

Seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI, tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang negara. Malaysia sentiasa terbuka kepada pelaburan, pendidikan, dan kerjasama antarabangsa, namun keterbukaan ini tidak sesekali mengorbankan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.
Adalah penting untuk difahami bahawa status visa, sama ada sebagai pelajar, pelabur, pemegang pas lawatan jangka panjang atau peserta program Malaysia My Second Home (MM2H), tidak sekali-kali memberikan imuniti daripada undang-undang negara ini. Mana-mana individu yang didapati melanggar syarat pas, menimbulkan ancaman keselamatan, atau mengganggu ketenteraman awam akan dikenakan tindakan tegas.
Langkah yang diambil termasuklah pembatalan pas, penyenaraian hitam, serta penghantaran pulang ke negara asal. Prinsip ini dilaksanakan secara konsisten, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu berkenaan. Malaysia mengiktiraf sumbangan tenaga kerja asing, termasuk warga China, khususnya dalam kalangan ekspatriat profesional yang terlibat dalam projek strategik dan sektor berimpak tinggi.

Namun, KDN memastikan kemasukan ini dilaksanakan secara terkawal, berasaskan keperluan sebenar negara, serta tertakluk kepada undang-undang dan peraturan ketat yang telah ditetapkan.
Pastinya, masayarakat bersetuju usaha dan ketegasan Datuk Seri Saifuddin Nasution bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan aktiviti jenayah oleh warga asing walau atas alasan pelaburan atau pelancongan disamping komitmen KDN untuk terus menyemak semula dasar imigresen agar lebih selari dengan keperluan keselamatan negara.
Kementerian Dalam Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution memainkan peranan penting dan seimbang — di satu pihak membuka pintu kepada pelancong dan pelabur China, tetapi di pihak lain menegakkan undang-undang dan mengawal kemasukan warga asing bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Tindakan berterusan, penguatkuasaan tegas dan semakan dasar secara berkala adalah kunci untuk memastikan kehadiran warga China di Malaysia tidak membawa risiko kepada kedaulatan, keselamatan atau keharmonian masyarakat tempatan.
