WhatsApp Image 2026-04-14 at 10.47.21

Kuala Lumpur – Majlis Perniagaan Malaysia-Bosnia & Herzegovina (MBBC) terus memperkukuh peranannya dalam memacu hubungan ekonomi antarabangsa apabila menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menghimpunkan tetamu kehormat, rakan strategik, ahli serta rakan sekutu dalam suasana penuh muhibah dan jaringan profesional.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Penaung MBBC. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha MBBC dalam memperluas kerjasama ekonomi serta memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina.

Beliau menegaskan kepentingan kerjasama strategik yang mampan serta peranan sektor swasta dalam merancakkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Majlis berkenaan bukan sahaja menjadi platform sambutan perayaan, malah turut mencerminkan momentum positif MBBC dalam mempergiat usaha memperluas jaringan perniagaan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi dan penglibatan strategik di peringkat antarabangsa.

Kemuncak acara turut berlangsung, pelancaran rasmi Sarajevo Business Dialogue 2026 (SBD 2026), yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun. Pelancaran ini menandakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan MBBC untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pemangkin utama hubungan ekonomi Malaysia-Bosnia & Herzegovina di peringkat serantau dan global.

Meneruskan kejayaan penganjuran Sarajevo Business Dialogue 2024, edisi 2026 dijangka tampil sebagai platform yang lebih komprehensif serta berorientasikan hasil. Program itu bakal menghimpunkan penyertaan berprofil tinggi merangkumi wakil kerajaan, pemimpin industri, pelabur serta usahawan dari Malaysia, Bosnia & Herzegovina dan rantau Balkan secara keseluruhan.

Inisiatif ini dilihat berpotensi besar dalam membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan serta kerjasama strategik rentas sempadan, selaras dengan aspirasi MBBC untuk memperluas jejaknya di peringkat antarabangsa

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading