KUALA LUMPUR – Usahawan bumiputera dalam sektor teknologi dan digital dijangka menerima limpahan manfaat baharu selepas Planworth Global Factoring Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF).
Kerjasama ini dilihat sebagai pemangkin kepada peluasan akses pembiayaan alternatif bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera, sekali gus menyokong agenda pembangunan ekonomi digital negara.
Selain berdaftar dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan ePerolehan, Planworth juga menyediakan kemudahan pembiayaan pantas kepada pembekal serta penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan agensi kerajaan dan GLC.
Di samping meraih pelbagai anugerah, Planworth juga merupakan pemenang Enterprise 50 (E50) 2024 anjuran SME Corp dan diiktiraf dengan 4-bintang Daya Saing SME Untuk Peningkatan (SCORE) yang diakreditasi oleh SME Corp dan MRANTI.
Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Dato’ Andy Kuek, menegaskan inisiatif bersama NEF ini membuktikan komitmen syarikat dalam memperkukuh kedudukan usahawan bumiputera, selain memposisikan Planworth sebagai rakan pembiaya strategik yang diyakini.

“Pelanggan kami bukan sekadar peminjam, tetapi rakan strategik yang mencerminkan nilai kami iaitu tadbir urus baik, kredibiliti dan aspirasi untuk berkembang.
“Kami komited untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan yang lebih pantas dan mudah diakses agar setiap ahli NEF dapat memberi tumpuan kepada aspek pelaksanaan projek.
“Kami memahami cabaran utama yang dihadapi oleh para usahawan dan pemain industri terutama dalam mendapatkan modal kerja. Banyak projek tergendala akibat masalah aliran tunai. Dengan fasiliti pembiayaan yang kami sediakan, usahawan boleh mendapatkan dana dalam tempoh lebih singkat, membantu mereka memenuhi jadual projek dengan lebih efisien,” katanya.
Beliau optimis MoU ini akan membantu lebih ramai usahawan mengakses pembiayaan yang pantas, telus dan fleksibel, terutama bagi mereka yang berdepan cabaran untuk mendapatkan sokongan kewangan konvensional.
Planworth muncul sebagai peneraju penyelesaian modal kerja pintar di Malaysia dengan portfolio produk yang merangkumi pembiayaan prainvois, pascainvois, pusingan kredit serta pembiayaan rantaian bekalan.
Dengan rekod lebih 11 tahun dalam industri, Planworth konsisten menyokong projek berskala besar melibatkan kontraktor, pembekal dan syarikat dalam pelbagai sektor. Keupayaan ini diperkukuh oleh struktur kewangan yang stabil, operasi berasaskan modal sendiri, serta penggunaan teknologi digital dalam sistem pengurusan risiko.

Tambahnya lagi, kadar pembiayaan yang ditawarkan lebih telus, efisien dan kukuh. Secara langsung menjadi pembiaya alternatif nombor satu di Malaysia selain bank.
Selain menyediakan penyelesaian pembiayaan, Planworth turut berperanan memperkukuh ekosistem ekonomi digital dengan memastikan PMKS bumiputera mampu bersaing di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Planworth kini diiktiraf sebagai pembiaya alternatif utama negara, memperjuangkan kejayaan perniagaan tempatan daripada syarikat pemula hingga korporat besar. Syarikat ini juga berdaftar dengan Kementerian Kewangan (MOF) serta e-Perolehan, membolehkannya menyokong lebih banyak projek berkaitan kerajaan.
Sementara itu, Presiden NEF Lilyana Latiff berkata, kerjasama dengan Planworth ini membuktikan pertumbuhan ekonomi bumiputera yang semakin rancak lebih-lebih lagi dalam industri ICT.

“Kita berperanan sebagai introducer kepada ahli-ahli kami dalam mendapatkan bantuan dana bagi pemfaktoran projek yang dijalankan.
“Nef, selepas melakukan kajian, mendapati Planworth menawarkan alternatif pembiayaan yang lebih fleksibel dan berkesan. Ahli kami boleh memperoleh modal awal melalui pembiayaan invois serta kemudahan pembiayaan pesanan belian, sekali gus membolehkan mereka membuat pembayaran terus kepada pembekal.
“Selain itu, Planworth turut menawarkan kemudahan modal kerja dalam bentuk pinjaman tanpa cagaran, memberikan ahli akses kepada dana tunai lebih awal. Ini membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek tanpa bergantung sepenuhnya kepada bank,” katanya kepada media selepas majlis pemeteraian MoU disini hari ini.
Dengan kerjasama strategik ini, NEF dan Planworth berharap dapat membantu memperkasakan sektor industri ICT tempatan serta memastikan usahawan, khususnya dalam kalangan PKS, berkembang dengan lebih mampan dan berdaya saing.
