Kuala Lumpur – Taman Safari Indonesia terus menjadi destinasi pelancongan popular yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung melalui konsep safari gaya Afrika satu tarikan luar biasa yang membolehkan pelawat merasai suasana hutan savana Afrika, tanpa perlu meninggalkan benua Asia.
Terletak di kawasan pergunungan yang sejuk dan menghijau, Taman Safari Indonesia bukan sekadar sebuah zoo biasa. Ia adalah taman konservasi dan ekopelancongan yang memfokuskan kepada pendidikan, perlindungan haiwan liar, dan hiburan untuk seisi keluarga. Salah satu ciri paling menarik di taman ini ialah perjalanan safari, di mana pengunjung dapat menaiki kenderaan sendiri atau menaiki tram khas untuk meneroka habitat haiwan secara langsung – seolah-olah berada di tengah-tengah padang rumput Afrika.
Pengunjung berpeluang melihat secara dekat pelbagai spesies haiwan eksotik seperti singa Afrika, zirafah, gajah, badak sumbu, zebra, dan cheetah semuanya bebas berkeliaran dalam kawasan luas yang menyerupai habitat asal mereka. Keunikan taman ini terletak pada cara interaksi antara manusia dan haiwan yang dikendalikan dengan selamat dan mesra alam, membolehkan pengalaman yang mendidik dan menghiburkan pada masa yang sama.

Pengarah Komunikasi Korporat Taman Safari Indonesia, Alexander Zulkarnain bekata, Taman Safari Indonesia bukan hanya sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga sebuah pusat pembelajaran alam yang berfungsi sebagai jambatan antara manusia dan alam semula jadi.
“Kami ingin membawa pengalaman safari yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mendidik dan memberi kesedaran tentang pentingnya pemeliharaan haiwan liar. Melalui konsep safari gaya Afrika ini, pengunjung dapat melihat sendiri keindahan dan keunikan spesies haiwan dari pelbagai benua, sambil menyokong usaha konservasi yang kami jalankan.
“Kami percaya bahawa interaksi yang bertanggungjawab dengan haiwan dan alam dapat memupuk rasa cinta terhadap kehidupan liar dan alam sekitar, terutamanya dalam kalangan generasi muda” katanya.
Jelasnya lagi, selain safari, Taman Safari Indonesia juga menampilkan pertunjukan haiwan, pusat pemuliharaan spesies terancam, dan pelbagai aktiviti keluarga seperti taman tema, kereta kabel, rumah hantu, serta kawasan bermain kanak-kanak.

Sementara itu, Ketua Subkumpulan Pemasaran Pelancongan Luar Negara, Lucky Wulandari menekankan bahawa konsep safari gaya Afrika yang diperkenalkan di taman ini memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dan selamat dengan pelbagai spesies haiwan.
“Melalui konsep safari drive-thru, pengunjung dapat menyaksikan secara dekat kehidupan haiwan seperti singa, zebra, dan zirafah dalam suasana yang menyerupai habitat asal mereka. Ini bukan sahaja memberi pengalaman yang unik, tetapi juga memperkukuh kefahaman terhadap kepentingan biodiversiti.
“Taman Safari Indonesia terus berinovasi dengan memperkenalkan teknologi dalam program pendidikan dan konservasi untuk menarik lebih ramai pelancong luar datang kesini disamping dapat meningkatkan lagi industri pelancongan Indonesia” ujarnya kepada Malaysianews TV.

Pengurusan taman turut mengambil serius aspek konservasi dengan menyertai pelbagai program pembiakan dan perlindungan haiwan liar yang terancam, seperti harimau Sumatera dan badak Jawa. Dengan kerjasama pihak antarabangsa, Taman Safari telah menjadi salah satu pusat konservasi terkemuka di Asia Tenggara.
Terdapat tiga taman safari utama di bawah rangkaian Taman Safari Indonesia antaranya; Taman Safari Bogor (Jawa Barat), Taman Safari Prigen (Jawa Timur) dan Bali Safari and Marine Park (Bali). Selain itu, Batang Dolphins Center di Jawa Tengah juga diuruskan oleh kumpulan yang sama, namun ia lebih fokus kepada mamalia laut, khususnya ikan lumba-lumba.
Pengalaman safari gaya Afrika di Indonesia ini menjadikan Taman Safari Indonesia sebagai destinasi yang unik dan wajib dikunjungi oleh pencinta haiwan, keluarga, serta pelancong yang ingin merasai gabungan keseronokan, pembelajaran, dan keindahan alam dalam satu tempat.
