Kuala Lumpur – Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth), penyedia pembiayaan kewangan alternatif terkemuka, dalam usaha memperkasakan daya tahan kewangan syarikat-syarikat kawalan keselamatan tempatan.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara itu menyaksikan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak bagi menawarkan akses pembiayaan yang lebih mesra kredit, cekap, pantas dan fleksibel – tanpa memerlukan cagaran.
Presiden PIKM, Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman, menyifatkan langkah ini sebagai pencetus perubahan positif buat industri keselamatan negara yang kini berdepan cabaran peningkatan kos operasi.
“Melalui kerjasama ini, syarikat keselamatan akhirnya mempunyai saluran pembiayaan kewangan alternatif yang cepat, telus dan boleh dipercayai. Ia bukan sekadar pembiayaan, tetapi satu bentuk sokongan menyeluruh kepada kelangsungan dan pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan,” ujar beliau.
Planworth Dipilih Sebagai Rakan Strategik Utama
Planworth, yang baru-baru ini meraih pengiktirafan SME Corp Enterprise 50 Award 2024, telah dipilih sebagai rakan strategik utama PIKM selepas melalui proses penilaian menyeluruh oleh jawatankuasa khas. Penilaian tersebut mengambil kira kekuatan produk, etika perniagaan, pengalaman pelanggan serta kebolehpercayaan setanding institusi perbankan.

Sehingga kini, Planworth telah menyalurkan hampir RM3 bilion dalam bentuk pembiayaan melalui lebih 40,000 transaksi, melibatkan kontrak bekalan, perkhidmatan dan kerja bernilai lebih RM4 bilion di seluruh negara. Syarikat ini telah membantu ribuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), syarikat besar serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Dato’ Kuek Andy, menegaskan bahawa sektor keselamatan merupakan komponen penting dalam struktur ekonomi dan sosial negara, dan wajar diberikan sokongan pembiayaan yang bersesuaian.
“Planworth komited menyediakan penyelesaian pembiayaan yang cepat dan mesra pelanggan bagi memastikan syarikat keselamatan terus kukuh dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM800 juta telah diperuntukkan bagi tahun ini sebagai dana pembiayaan, disalurkan melalui modal sendiri dan disokong oleh kemudahan perbankan daripada institusi kewangan ternama.
Dato’ Kuek turut menambah bahawa Planworth bukan sekadar penyedia dana, tetapi rakan strategik yang memahami keperluan unik industri keselamatan, terutama dalam aspek pembayaran tepat pada masanya faktor penting dalam kelangsungan operasi syarikat kawalan keselamatan.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, PIKM dan Planworth turut merancang untuk menganjurkan siri program literasi kewangan dan taklimat pembiayaan. Usaha ini bertujuan membantu lebih 1,100 syarikat keselamatan berdaftar di bawah PIKM dalam memperkukuh pengurusan kewangan korporat mereka.
Kerjasama ini dijangka akan meningkatkan daya saing industri keselamatan tempatan serta memperkukuh kedudukan sektor tersebut sebagai penyumbang penting kepada keselamatan dan kestabilan negara.
