SEPANG – Arena permotoran tanah air bakal menyaksikan satu acara besar apabila Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025 dianjurkan buat julung kalinya oleh Kelab Sukan Bermotor Battle of Speed Sepang (BOSS) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Rakan Muda serta Rakan Litar.
Bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), karnival ini menjanjikan kombinasi unik antara aksi perlumbaan penuh adrenalin, aktiviti kekeluargaan, dan pameran gaya hidup automotif.

Platform Merakyatkan Sukan Permotoran
Menurut Pengerusi BOSS, Najiy Ayyad, yang berpengalaman lebih 16 tahun dalam arena perlumbaan kereta, penganjuran ini bertujuan membawa sukan permotoran lebih dekat kepada masyarakat.
“Ini bukan sekadar acara perlumbaan, tetapi platform untuk menyatukan peminat, komuniti dan penggiat industri automotif di bawah satu bumbung. Kami mahu karnival ini menjadi medan tahunan yang dinanti-nantikan,” katanya.
Antara tarikan utama yang menanti pengunjung termasuklah:
Track Day – peluang merasai pengalaman menguji jentera di trek Sepang dengan kawalan keselamatan serta bimbingan profesional.
Car Club Parade – perarakan kereta klasik, sport, modifikasi, JDM hingga 4×4.
Drift Show – persembahan aksi drift oleh pelumba profesional.

Car Autoshow – pameran statik kenderaan unik dari pelbagai kategori.
Selain itu, kawasan Kids Area turut disediakan dengan mini cinema, inflatable castle, slot car racing, mechanical bull ride, batak, catch stick dan ball dart. Pengunjung juga boleh menikmati pengalaman istimewa melalui Taxi Ride, iaitu menaiki kereta lumba bersama pemandu profesional di litar sebenar.
Lebih 20 vendor dan 10 food truck bakal memeriahkan suasana dengan pelbagai juadah, manakala lima persatuan permotoran serta beberapa kelab komuniti termasuk peserta khas dari Singapura turut mengesahkan penyertaan.
Aspek Keselamatan & Sokongan Agensi
Penganjur memberi jaminan keselamatan dengan pemasangan rail guard di zon berisiko, kawalan oleh petugas terlatih serta penyediaan dua buah ambulans di lokasi. Tempat letak kereta percuma juga disediakan.


Agensi kerajaan seperti KBS, JBSN dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan membuka booth khas untuk memberi pendedahan tentang peluang dalam bidang permotoran, selain membimbing belia yang berminat.
Dengan sasaran kehadiran lebih 1,000 pengunjung setiap hari serta penyertaan lebih 300 peserta, Karnival Sukan Permotoran BOSS Sepang 2025 diyakini bakal menjadi permulaan kepada acara tahunan yang menyatukan minat rakyat Malaysia terhadap dunia automotif.
