KUALA LUMPUR – Kapal utama dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC), Conscience, kini berada di Pelabuhan Ashdod, Israel, selepas ditahan dan dipintas tentera laut negara tersebut awal pagi Rabu waktu Malaysia, menurut maklumat daripada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).
MyCARE mengesahkan bahawa semua lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal tersebut dalam keadaan selamat. Namun demikian, terdapat laporan bahawa beberapa peserta flotilla mengalami kecederaan akibat tindakan kekasaran sewaktu rampasan dijalankan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shahrul Anwar, pihak peguam telah berada di pelabuhan dan bersiap sedia untuk mengambil tindakan susulan. Namun, belum berlaku pertemuan langsung dengan aktivis yang ditahan.
Beliau menegaskan bahawa proses membawa pulang aktivis yang ditahan bakal berjalan dengan halangan kerana ia melibatkan aspek perundangan antarabangsa serta rundingan diplomatik. Semua langkah mesti mematuhi protokol undang-undang antarabangsa sebelum pembebasan boleh dilaksanakan.
MyCARE turut memaklumkan bahawa selain peserta Malaysia, terdapat juga tiga ahli Parlimen Turki yang ditahan dalam operasi yang sama. Menurut laporan, proses penghantaran mereka dirancang supaya dihantar ke negara ketiga terlebih dahulu, bukan terus ke Turkiye.
