2

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa memastikan sebarang penjimatan dan hasil tambahan diutamakan untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat terutamanya dalam meringankan beban sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesejahteraan rakyat adalah undang-undang tertinggi.

Jelas beliau, buat pertama kali dalam sejarah, kadar kemiskinan tegar negara menurun daripada 0.2 peratus ke paras hampir sifar, hanya 0.09 peratus atau sekitar 7,000 isi rumah seluruh Malaysia.

“Ini kerana kita menggunakan kadar PGK Makanan 2022 1,198 ringgit sebelum ini. Susulan kenaikan PGK Makanan 2024 kepada 1,236 ringgit, insya-Allah baki 7,000 miskin tegar dinoktahkan sebelum akhir tahun ini,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan juga bercadang melanjutkan tempoh permohonan pengecualian cukai pendapatan perusahaan sosial sehingga 2028.

“Selain itu, RM120 juta disediakan sebagai geran padanan untuk yayasan GLIC dan GLC berganding bahu dengan kerajaan dalam menangani isu-isu rakyat seperti menangani keperitan golongan miskin bandar, mengatasi gelandangan di bandar dan membina keupayaan bekas penghuni rumah perlindungan JKM untuk berdikari,” jelas beliau.

Datuk Seri Anwar berkata BSN berjaya memupuk budaya perniagaan tanpa tunai dalam kalangan penjaja kecil di Pulau Tioman dan Kabong, Sarawak, selain menganjurkan latihan usahawan kepada Komuniti Tenun Songket Penjara Marang, Terengganu.

RM50 juta ringgit disediakan kepada BSN, antaranya untuk menyediakan geran perniagaan sehingga RM10,000 kepada 1,000 usahawan mikro berpotensi sebagai modal membeli peralatan perniagaan.

Selain itu, menyediakan khemah penjaja, peranti sound box dan sistem QR kepada peniaga pasar malam di Pangkor, Perak dan Kuala Tahan, Pahang.

Ia juga bagi menganjurkan program bimbingan keusahawanan kepada Penjara Penor, Pahang dan Penjara Taiping, Perak; dan menganjurkan program pembangunan usahawan di IPT untuk melatih mahasiswa yang mahu menceburi bidang perniagaan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading