5

TEL AVIV – Israel dilaporkan akan membenarkan 600 trak bantuan kemanusiaan membawa makanan, peralatan perubatan, bahan api dan khemah memasuki semenanjung Gaza setiap hari, menurut laporan Army Radio Israel.

Langkah itu turut membenarkan penduduk Gaza yang meninggalkan wilayah berkenaan semasa perang untuk pulang ke rumah masing-masing melalui Lintasan Rafah, buat kali pertama sejak 7 Oktober 2023.

Menurut laporan itu, penghantaran bantuan akan diselaraskan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan antarabangsa bertauliah serta sektor swasta, dengan laluan trak dijangka bergerak dari selatan ke utara Gaza melalui Jalan Salah al-Din dan al-Rashid.

Selain itu, penduduk Gaza yang ingin keluar ke Mesir juga dibenarkan berbuat demikian mengikut mekanisme yang digunakan dalam perjanjian Januari 2025, tertakluk kepada kelulusan pihak Israel serta pemantauan Misi Kesatuan Eropah (EU) di lintasan berkenaan, lapor Al Jazeera.

“Tiada sekatan dikenakan terhadap jumlah penduduk Gaza yang ingin keluar ke Mesir,” menurut laporan itu.

Bagaimanapun, proses kemasukan semula penduduk ke Gaza hanya akan bermula selepas mekanisme penyelarasan bersama Mesir dicapai sepenuhnya.

Perkembangan ini dilihat sebagai langkah penting dalam usaha memulihkan keadaan kemanusiaan di Gaza yang terjejas teruk selepas lebih dua tahun serangan berterusan Israel – AGENSI

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading