11

Petaling Jaya – Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) mencipta satu lagi pencapaian penting apabila melancarkan logo baharu yang lebih segar, seiring dengan pembukaan pejabat sekretariat terkininya di Unit Ara Damansara.

Perasmian logo baru ini disempurnakan oleh Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyatakan sokongan penuh kerajaan terhadap usaha NASOM memperkukuh hak, peluang dan kebajikan komuniti autisme di Malaysia.

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Pemilihan identiti visual ini melalui proses pertandingan terbuka mendapat input bukan hanya daripada orang awam, tetapi juga daripada komuniti autisme sendiri. Pendekatan ini mencerminkan sikap inklusif NASOM dalam memastikan suara dan pandangan komuniti mereka diambil kira.

Logo baharu tersebut memaparkan simbol “infinity” melambangkan konsep neurodiversiti, iaitu penerimaan bahawa perbezaan neurologi (termasuk autisme) merupakan sebahagian daripada variasi semula jadi manusia, bukan kekurangan.

Dua “titisan air” turut direka melambangkan fleksibiliti, ketahanan dan keupayaan menyesuaikan diri. Pemilihan warna pula dipilih secara simbolik: merah jambu untuk kasih sayang dan empati, turkuois bagi ketenangan dan kejelasan emosi, serta biru melambangkan kepercayaan, keselamatan dan kesetiaan.

Menurut Presiden NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin, logo ini lebih daripada sekadar imej ia lambang pemberdayaan dan komitmen terhadap komuniti autisme serta keluarga mereka.

“Ia menzahirkan usaha berterusan kami untuk mengambil kira pandangan, harapan serta keperluan ahli dan penyokong.

“Bukan itu sahaja, ia selaras dengan misi NASOM untuk meningkatkan kualiti hidup individu autisme dan memperkukuh penerimaan masyarakat terhadap golongan ini,” katanya. 

Sejak ditubuhkan pada 3 Mac 1987, NASOM komited menyediakan sokongan sepanjang hayat kepada individu autisme melalui pelbagai program termasuk intervensi awal, intervensi intensif, terapi cara kerja, latihan vokasional dan pembangunan kemahiran. 

Pengerusi NASOM, Julian Wong turut menambah, NASOM kini mengendalikan 18 pusat di seluruh negara, memberi khidmat kepada lebih 400 pelajar dengan sokongan pasukan seramai 120 kakitangan termasuk guru terlatih.

“Di sinilah usaha, kerjasama dan inisiatif baharu akan digerakkan untuk memastikan lebih ramai individu autisme dapat menyertai dan berkembang dalam masyarakat,”

“Pembukaan pejabat sekretariat baru ini berkenaan menandakan komitmen persatuan untuk terus memperkukuh perkhidmatan dan mendekatkan sokongan kepada komuniti autisme. Ini adalah usaha kami untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme di kalangan masyarakat yang semakin menunjukkan peningkatan” katanya.

Selama lebih 38 tahun berperanan sebagai peneraju sokongan autisme di Malaysia, NASOM telah membentuk jaringan kerjasama strategik bersama lebih 100 rakan kongsi, merangkumi sektor korporat, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan perusahaan kecil. Kerjasama meluas ini menjadi asas kepada usaha NASOM memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap autisme serta mengembangkan peluang inklusif untuk komuniti tersebut.

Bagi memastikan program dan perkhidmatannya dapat diteruskan, NASOM aktif melaksanakan pelbagai inisiatif sepanjang tahun termasuk pameran dan bazar kesedaran, sesi wacana dan diskusi panel secara langsung, kempen pengumpulan dana, serta pertunjukan bakat yang menampilkan kebolehan unik individu autisme. Setiap program dirangka bukan sekadar untuk memupuk kesedaran, tetapi juga untuk menghubungkan masyarakat secara lebih dekat dengan realiti dan potensi mereka.

Sebagai organisasi tidak berasaskan keuntungan, NASOM bergantung kepada sokongan berterusan daripada masyarakat. Sumbangan kewangan, sokongan sukarelawan dan kerjasama korporat memainkan peranan penting dalam memastikan individu autisme mendapat akses kepada perkhidmatan, bantuan dan peluang perkembangan yang setara.

Dengan sokongan kolektif daripada orang ramai, rakan strategik dan para penyumbang, NASOM optimis bahawa lebih banyak ruang penyertaan dapat diwujudkan membuka lembaran baharu bagi individu autisme untuk berkembang, dihargai dan mencapai potensi tertinggi mereka. 

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading