Main Photo 1 _ Empowering education with distribution of STEM kits to the children in Lebanon

Kuala Lumpur – Yayasan MR D.I.Y. menutup tirai 2025 dengan pencapaian cemerlang melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif komuniti berimpak tinggi di seluruh negara. Sepanjang tahun ini, Yayasan tersebut telah menyalurkan hampir RM1.5 juta untuk melaksanakan 250 program, memberi manfaat kepada lebih 300,000 penerima – mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu organisasi berteraskan komuniti yang paling aktif di Malaysia.

Dibina atas kepercayaan dan kemesraan yang telah dibina oleh MR D.I.Y. Malaysia selama lebih dua dekad melalui rangkaian lebih 1,400 kedai, Yayasan MR D.I.Y. terus menterjemahkan hubungan erat jenama tersebut dengan rakyat Malaysia kepada pelbagai inisiatif berfokuskan rakyat yang menghasilkan impak nyata.

Salah satu pencapaian utama tahun 2025 ialah perkembangan berterusan program perdana Yayasan tersebut iaitu STEM Discovery on Wheels, yang kini telah melibatkan lebih 200,000 kanak-kanak di seluruh negara. Inisiatif yang merupakan salah satu usaha jangkauan STEM yang dipacu pihak swasta terbesar di Malaysia ini dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Muzium Malaysia, dan Pusat Sains Negara untuk membawa pembelajaran STEM secara interaktif terus ke sekolah dan komuniti yang kurang mendapat liputan, sekali gus menyemai minat awal dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Yayasan tersebut juga telah memperkukuh usaha kemanusiaan di luar sempadan Malaysia. Dengan kerjasama batalion terakhir Malaysia di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), MALBATT 850-13, Yayasan MR D.I.Y. telah mengagihkan 9,600 set STEM kepada kanak-kanak di 48 daerah di Lubnan, menyokong kesinambungan pendidikan dalam komuniti yang terjejas akibat konflik. Sumbangan ini merupakan salah satu usaha jangkauan global yang paling signifikan oleh Yayasan tersebut setakat ini.

alam negara, Yayasan terus melaksanakan pelbagai usaha dengan prihatin dan tangkas. Dalam satu usaha solidariti yang bermakna, pihak pengurusan kanan MR D.I.Y. mengumpulkan peruntukan SARA RM100 masing-masing bagi membeli barangan keperluan MyKasih, yang kemudiannya disumbangkan kepada Home of Hope, sebuah rumah transit yang dikendalikan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk pesakit kanser di Chow Kit. Tindakan bersama ini mencerminkan budaya empati dan menegaskan kepercayaan bahawa tanggungjawab sosial yang bermakna bermula dengan komitmen individu.

Yayasan MR D.I.Y. turut menyalurkan bantuan segera kepada komuniti yang dilanda kesusahan termasuk menyediakan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Jeli, Taiping dan Sabah; menyumbangkan 100 kerusi baharu kepada Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan membantu 100 keluarga yang terjejas akibat banjir besar di Kota Kinabalu.

Menutup tirai 2025, Yayasan MR D.I.Y. sedang melaksanakan program CSR tahunan sempena Krismas, termasuk lawatan khas ke School in Hospital, Hospital Rehabilitasi Cheras. Inisiatif ini bertujuan membawa keceriaan kepada lebih 50 pesakit pediatrik melalui pemberian hadiah, aktiviti interaktif dan pengisian bertemakan perayaan – memastikan kanak-kanak terus merasa disayangi walaupun sedang menjalani rawatan jauh dari rumah masing-masing.

“Kekuatan Yayasan MR D.I.Y. terletak pada kepercayaan dan hubungan rapat yang telah dibina oleh MR D.I.Y. dengan rakyat Malaysia selama ini,” kata Zaleha Mohd Mydin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y. “Hubungan ini membolehkan kami memahami keperluan komuniti dengan lebih mendalam, bertindak dengan cepat, dan melaksanakan program yang memberi impak sebenar di dalam dan luar negara.”

Dengan rangkaian yang luas di seluruh negara, asas jenama yang kukuh, dan portfolio program yang semakin berkembang meliputi pendidikan, pembangunan komuniti, dan bantuan kemanusiaan, Yayasan MR D.I.Y. terus menetapkan penanda aras dalam amalan tanggungjawab sosial korporat berteraskan rakyat di Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading