PUTRAJAYA – Sebanyak 20,000 balang mentega kacang edisi terhad Pink Wobbly Breast Odyssey diperkenalkan menerusi kerjasama Jobbie, Lotus’s Malaysia dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA), dengan sasaran sumbangan sebanyak RM20,000 kepada pesakit kanser.
Kempen yang berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2026 itu menyaksikan RM1 daripada setiap balang edisi khas yang terjual akan disalurkan kepada MAKNA.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan mengumpul dana, malah membawa mesej kesedaran mengenai kesihatan payudara lebih dekat kepada masyarakat menerusi produk kegunaan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Jobbie Sdn. Bhd., Victor Chin berkata, kempen itu merupakan kesinambungan kerjasama syarikat berkenaan bersama MAKNA yang pertama kali dilaksanakan pada 2024 dengan pengenalan 5,000 balang edisi terhad.
Menurutnya, edisi terbaharu itu turut menampilkan maklumat berkaitan tanda dan gejala lazim kanser payudara bagi menggalakkan masyarakat mengambil perhatian terhadap kesihatan serta bertindak lebih awal sekiranya terdapat perubahan yang mencurigakan.
Chin berkata, kempen berkenaan turut mempunyai nilai peribadi buat dirinya selepas ibunya disahkan menghidap kanser payudara ketika beliau masih kecil.
Beliau berharap pendekatan membawa maklumat kesihatan ke ruang rumah dan kehidupan seharian dapat membantu keluarga berbincang dengan lebih terbuka mengenai kesihatan payudara.

Pada masa sama, kempen itu menyasarkan untuk mendekati sehingga 20,000 keluarga menerusi rangkaian Lotus’s di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Bahagian MAKNA, Nisha Sanita Mohd Norha berkata, dana yang dikumpulkan akan menyokong usaha organisasi berkenaan membantu pesakit kanser, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan.
Katanya, setiap pembelian melalui kempen tersebut menjadi sebahagian daripada sokongan kepada individu dan keluarga yang sedang melalui perjalanan rawatan kanser.
Selain aktiviti jualan, kempen berkenaan turut disokong menerusi program kesedaran di IOI City Mall, termasuk kehadiran MAKNA Awareness Truck yang menawarkan aktiviti interaktif menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR).

Konsultasi kesihatan payudara serta penilaian risiko secara percuma turut disediakan kepada orang ramai sepanjang program yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Orang ramai juga berpeluang menyokong kempen berkenaan menerusi pembelian balang Pink Wobbly Breast Odyssey yang ditawarkan di cawangan Lotus’s terpilih dan seluruh negara, tertakluk kepada stok.
