KUALA LUMPUR – Semua permohonan faedah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang merangkumi empat akta utama boleh dikemukakan sepenuhnya secara dalam talian mulai Januari ini, kata Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan.
Pengumuman itu merupakan antara empat inisiatif utama yang diumumkan beliau selepas mengadakan lawatan kerja rasmi sulung ke Menara PERKESO, hari ini, sebagai sebahagian usaha memperkukuh sistem perlindungan sosial negara.
Menurut Ramanan, langkah pendigitalan menyeluruh itu bertujuan memudahkan urusan lebih 10 juta pekerja sektor formal dan informal, selain mengurangkan beban pencarum serta waris keluarga yang sebelum ini perlu hadir ke pejabat PERKESO bagi urusan permohonan faedah.

“PERKESO diarahkan supaya semua permohonan faedah meliputi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) dapat dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, pengoperasian penuh portal LINDUNG Faedah akan melibatkan permohonan faedah seperti Hilang Upaya Kekal (HUK), Hilang Upaya Sementara (HUS), Pencen Ilat, Penyakit Khidmat, Faedah Orang Tanggungan (FOT) serta Pencen Penakat.
“Dengan purata lebih 200,000 permohonan faedah setiap tahun, sistem dalam talian ini akan mempercepatkan proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan tanpa membebankan pencarum,” katanya.
Selain itu, Ramanan turut mengumumkan sasaran pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) menjelang suku pertama atau selewat-lewatnya akhir suku kedua tahun 2026, selaras dengan usaha memperluas perlindungan sosial kepada pekerja di luar waktu kerja.
Beliau turut mengumumkan pengurangan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sebanyak 80 peratus, berkuat kuasa mulai hari ini hingga penghujung Februari 2026, sebagai langkah membantu majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan tekanan kos operasi.
“Pengurangan FCLB ini dilihat munasabah bagi memastikan kelangsungan perniagaan, terutama dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramanan memaklumkan bahawa Skim Pengembara akan dirintis melalui kajian kebolehlaksanaan mulai tahun hadapan, bertujuan memastikan hampir 400,000 pekerja tempatan yang berulang-alik merentasi Tambak Johor setiap hari tidak tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial.
Mengulas lanjut, beliau berkata PERKESO sedang memperkukuh infrastruktur dalaman serta meningkatkan kecekapan pentadbiran bagi memastikan pelaksanaan LINDUNG 24 Jam dan perundangan berkaitan sektor gig berjalan lancar.
“Bagi sektor gig, caruman akan menjadi mandatori sebaik Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 dikuatkuasakan. Justeru, kita mahu memastikan kesiapsiagaan operasi agar dasar yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan di lapangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, menyuarakan keyakinan bahawa kepimpinan baharu Kementerian Sumber Manusia akan terus memperkukuh peranan PERKESO sebagai pelaksana utama agenda reformasi perlindungan sosial negara.
Turut hadir pada lawatan kerja berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof, dan Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal.
