55

KUALA LUMPUR – Selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor, kini secara rasmi menjadi pemegang saham majoriti dalam syarikat teknologi gaya hidup Muslim, TheNoor, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam hala tuju dan pengurusan syarikat tersebut.

Pengumuman itu dibuat selepas Neelofa mengambil alih sepenuhnya peranan pengurusan dan pentadbiran TheNoor bermula Ogos lalu, susulan penilaian dalaman yang mendapati keperluan mendesak untuk penstrukturan semula organisasi dan tadbir urus syarikat.

TheNoor yang diasaskan pada tahun 2020 dikenali sebagai aplikasi gaya hidup Muslim berteraskan teknologi yang menawarkan pelbagai fungsi termasuk waktu solat, al-Quran digital, arah kiblat serta kandungan kerohanian. Sehingga kini, aplikasi berkenaan telah mencatatkan lebih 4.3 juta muat turun dan digunakan oleh ratusan ribu pengguna aktif setiap hari dari hampir 200 negara.

Menurut Neelofa, pengambilalihan tersebut dibuat selepas beliau mendapati wujud beberapa isu berkaitan dokumentasi, pengurusan dan tadbir urus korporat yang dibangkitkan hasil semakan audit kewangan bagi tahun 2023.

“Sebagai pemegang kepentingan, saya merasakan adalah tanggungjawab saya untuk memastikan syarikat ini bergerak di atas landasan yang betul, telus dan mampan,” katanya.

Susulan itu, beberapa langkah penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk pelantikan barisan pengurusan kanan baharu, pembentukan struktur organisasi yang lebih jelas serta kerjasama strategik dengan firma pembangunan perisian bertaraf antarabangsa bagi menaik taraf sistem aplikasi sedia ada.

Antara fokus utama pengurusan baharu ialah pembangunan semula aplikasi TheNoor yang dijangka diperkenalkan melalui versi premium dikenali sebagai TheNoor Pro. Versi ini bakal menawarkan ciri tambahan yang lebih interaktif dan bernilai tinggi kepada pengguna.

Neelofa berkata, pendekatan baharu itu bukan sahaja menekankan aspek teknologi, malah memberi keutamaan kepada pengalaman pengguna serta kandungan yang relevan dengan keperluan komuniti Muslim global.

Dalam perkembangan berkaitan, TheNoor juga dilaporkan sedang meneroka kerjasama strategik dengan beberapa rakan industri utama, termasuk kemungkinan integrasi aplikasi tersebut dalam ekosistem automotif tempatan.

Langkah ini dilihat sebagai usaha jangka panjang untuk memperluaskan penggunaan aplikasi berkenaan ke peringkat lebih luas, selain memperkukuh kedudukan TheNoor sebagai pemain utama dalam industri teknologi gaya hidup Islamik.

Neelofa menegaskan penglibatannya dalam TheNoor bukan bersifat sementara, sebaliknya satu komitmen jangka panjang bagi membina platform teknologi yang memberi manfaat sebenar kepada masyarakat.

“Saya percaya TheNoor mempunyai potensi besar. Fokus kami sekarang adalah membina asas yang kukuh, memastikan ketelusan dan membawa nilai sebenar kepada pengguna,” katanya.

Dengan pengambilalihan ini, TheNoor dijangka memasuki fasa baharu yang lebih tersusun, berdaya saing dan bersedia untuk berkembang di peringkat global.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading